PRK DUN Pelangai: PN Dan Fitnah Berpisah Tiada – Azman Azeez

BENTONG, 6 Okt – Kini berbaki kurang 24 jam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, pelbagai tohmahan, fitnah dan menimbulkan kegusaran kepada pengundi terus dilontarkan oleh Perikatan Nasional (PN) sepanjang kempen ini.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Azman Abdul Azeez menasihati pengundi-pengundi Pelangai terutamanya anak-anak muda agar jangan terpedaya dan terpengaruh dengan dakyah pembangkang pada saat-saat akhir berkempen.

“‘PN dan fitnah berpisah tiada’. Pemimpin-pemimpin PN menggunakan sentimen yang sama iaitu perkauman, sentimen agama, fitnah, adu domba yang tidak sepatutnya dilakukan.

“Saya yakin dan percaya rakyat Pelangai bijak dan tahu menilai serta tidak mahukan perpecahan sama sekali. Politik adalah politik, dalam berkempen ini masing-masing menggunakan cara masing-masing tetapi jangan menggadaikan perpaduan rakyat, hubungan sesama dengan cuba mengelirukan rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau ditemui selepas sesi sembang santai di Pusat Daerah Mengundi Felda Sungai Kemahal, di sini.

Tambahnya lagi, bukan hanya timbulkan soal isu perkauman malah PN mengelirukan rakyat berkenaan jumlah kerusi DUN Pahang yang kononnya dimomokkan sekiranya BN kalah di Pelangai maka kerajaan negeri akan bertukar dan sebagainya.

“Ini semua adalah dakyah-dakyah dan taktik yang cukup jahat yang dimainkan oleh PN. Rakyat Pelangai harus menangkis serangan jahat itu bahawa tidak sama sekali akan berlaku.

“Sekiranya BN tewas pun atau tidak pada pilihan raya ini, Kerajaan Negeri Pahang akan kekal di bawah pemerintahan BN kerana jumlah kerusi DUN cukup jelas bahawa BN ada 17 kerusi dan PH lapan kerusi, sekiranya hilang satu kerusi pun BN masih kerajaan negeri.

“Saya yakin dengan ‘mood’ yang ada di Pelangai ini dengan rakan-rakan dan sokongan dari jentera BN di sini mampu mempertahankan DUN Pelangai,” katanya lagi.

Turut hadir Pengerusi Veteran UMNO Pahang, Datuk Zulkifli Osman, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bera, Nashriq Ismail Sabri, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kuala Langat, Mohd Al-Hafizi Abu Bakar serta pengundi-pengundi muda tempatan.

Azman yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Baling menjelaskan calon BN Datuk Amizar Abu Adam sebagai anak tempatan dan generasi kedua Felda adalah bonus kerana beliau lebih faham, senario dan demografi kawasan ini ditambah pula sokongan dari kerajaan negeri dan pusat.

“Orang muda mahukan wakil rakyat yang bukan hanya mengatakan janji kosong semata-mata tetapi ingin melihat bukti untuk kebajikan dan kesinambungan rakyat di kawasan ini.

“Rakyat Pelangai mahukan kebajikan terjamin, pembangunan diteruskan di bawah kepimpinan yang bakal mewarisi takhta tersebut.

“Insya-Allah wakil dari BN dan disokong pula oleh kerajaan negeri dan pusat yang begitu prihatin. Mereka mahukan segala-galanya kerja-kerja baik itu diteruskan agar kenikmatan itu dapat dirasai bersama,” jelas beliau.

Pada masa yang sama Azman harap semua pengundi-pengundi khususnya anak-anak muda dapat menjalankan tanggungjawab pada esok.

“Keluar beramai-ramai untuk melaksanakan tanggungjawab hakiki untuk mengundi. Peluang ini bukannya hari-hari dapat mengundi tetapi ini adalah peluang keemasan memilih wakil rakyat kerana masa depan pada empat tahun mendatang bergantung kepada keputusan yang dibuat pada Sabtu ini.

“Plihlah calon BN bernombor tiga, Datuk Amizar Abu Adam yang telah terbukti dan insya-Allah dapat melaksanakan tanggungjawab bersama-sama kerajaan negeri dan Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit