Jentera BN Diseru Lipat Ganda Usaha Pastikan Kemenangan Amizar – Ahmad Maslan
BENTONG, 6 Okt – Tidak sampai 24 jam tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, jentera Barisan Nasional (BN) perlu terus melipatgandakan usaha dalam memikat hati pengundi di kawasan ini, seru Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Jelas beliau, jentera parti kini terus beri komitmen yang tinggi bagi memastikan kemenangan dan seterusnya mempertahankan kerusi tradisi milik BN itu.
“Ini membuktikan bahawa kesungguhan jentera BN berkerja keras memastikan kemenangan pada PRK ini. Malah sambutan rakyat Pelangai adalah amat baik dan pada 7 Oktober ini keluar beramai-ramai mengundi agar dapat memenangi lebih empat ribu undi justeru peratusan tersebut kekal atau lebih 70 peratus.
“Penduduk Pelangai tahu usaha kerajaan pusat dan negeri yang sentiasa membantu rakyat serta meneruskan agenda rakyat sekiranya calon BN Datuk Amizar Abu Adam memenangi PRK ini.
“Sama ada mahu jadi kerajaan atau berada dalam pembangkang? Berada dalam pembangkang tidak ada faedah pun, oleh itu sekiranya beliau menang dan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pasti lebih mudah,” katanya kepada UMNO Online di sini.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor itu percaya calon BN mampu meneruskan agenda yang pernah dirancang oleh bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob dan bekas ADUN Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
“Calon BN ini akan meneruskan legasi serta kesinambungan dan usaha-usaha yang telah dibuat oleh Tan Sri Adnan Yaakob dan Allahyarham Datuk Seri Johari Harun dan hanya beliau yang mampu melaksanakannya.
“Kerajaan Perpaduan Negeri Pahang dan Kerajaan Malaysia Madani akan terus mengutamakan rakyat dan menyelesaikan apa jua masalah rakyat,” ujarnya.
PRK DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat, Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli dan BN, Datuk Amizar Abu Adam.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Oktober sebagai hari pengundian DUN Pelangai. – UMNO Online