Heavyweight Pembangkang Turun Pelangai, Pengundi Bijak Buat Pertimbangan Undi BN – Ahmad Maslan

BENTONG, 6 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan
berkeyakinan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam akan mendapat kepercayaan pengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai esok.

Menurutnya walaupun pihak lawan dengan pimpinan pelbagai peringkat hadir pada ceramah-ceramah yang dianjurkan, namun beliau percaya pengundi Pelangai cukup bijak membuat penilaian.

“Kelihatan pemimpin-pemimpin pembangkang datang ke sini dan beri ceramah. Saya tahu kehadiran pemimpin-pemimpin pembangkang amat banyak tapi satu per-empat sahaja orang tempatan dan tiga per-empat orang luar. Mereka buat ceramah-ceramah besar ramai orang luar yang hadir dari penduduk setempat.

“Lebih baik kita buat ceramah kecil-kecilan dan banyak tempat telah dilakukan serta yakin dengan usaha dibuat serentak dan setiap masa insya-Allah, BN boleh berjaya.

“Saya ada keyakinan bahawa BN akan memenangi PRK DUN Pelangai, insya-Allah. Kita jangan lemah semangat apabila melihat banyak kenderaan di sini tetapi ini adalah kenderaan luar,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor merayu kepada pengundi luar agar pulang mengundi.

“Pengundi yang berada di luar, pulanglah mengundi dan tidak menjangka cuaca esok sama ada hujan atau sebagainya.

“Lagi ramai yang keluar mengundi lagi baik dan melihat pada PRK di Simpang Jeram baru-baru ini,” jelasnya.

PRK DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat, Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli dan BN, Datuk Amizar Abu Adam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Oktober sebagai hari pengundian DUN Pelangai. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit