Akta Insolvensi A1695: Bukti Kerajaan Perpaduan Komited Pastikan Tiada Rakyat Tercicir – Azalina

KUALA LUMPUR, 5 Okt – Penguatkuasaan Akta Insolvensi A1695 mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan tiada rakyat tercicir daripada arus pembangunan negara dan memberi peluang kepada individu bankrap untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Jemaah Menteri telah bersetuju dengan cadangan pindaan kepada Akta Insolvensi 1967 [Akta 360] yang merupakan hasil daripada pelbagai sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan.

“Seiring dengan Dasar Peluang Kedua dan untuk memperkasa pentadbiran kebankrapan, Kerajaan Perpaduan akan menguatkuasakan Akta lnsolvensi (Pindaan) 2023 [A1695] pada 6 Oktober 2023.

“Pada 10 Mac 2023, Jemaah Menteri telah bersetuju dengan cadangan pindaan kepada Akta Insolvensi 1967 [Akta 360] yang merupakan hasil daripada pelbagai sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan termasuklah Jabatan Peguam Negara, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPM), Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) dan Persatuan Bank-Bank dalam Malaysia.

“Pindaan utama adalah berhubung dengan penambahbaikan peruntukan pelepasan bankrap. Seksyen 33c Akta 360 dipinda bagi membantu pelepasan bankrap secara automatik dalam tempoh masa tiga hingga lima tahun dari tarikh bankrap menyerahkan pernyataan hal ehwalnya,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, bankrap yang tidak boleh mengurus diri dan hal ehwalnya disebabkan gangguan mental dan berusia 70 tahun ke atas melalui subseksyen 33B(2a) Akta 360 boleh dilepaskan tanpa prosedur bantahan pemiutang.

“Subseksyen 33B(2a) Akta 360 berkenaan dengan kategori bankrap yang boleh dilepaskan melalui sijil Ketua Pengarah lnsolvensi tanpa melalui prosedur bantahan pemiutang turut dipinda untuk menambah dua kategori baharu seperti yang berikut:

“Bankrap yang tidak boleh mengurus diri dan hal ehwalnya disebabkan oleh sakit mental mengikut takrifan di bawah Akta Kesihatan Mental 2001 [Akta 615] dan bankrap yang berusia 70 tahun dan ke atas, yang pada pendapat dan budi bicara Ketua Pengarah Isolvensi tidak berupaya untuk menyumbang kepada pentadbiran kebankrapan.

“Selaras dengan objektif Dasar Peluang Kedua, pindaan kepada seksyen 33c dan subseksyen 33B(2A) Akta 360 dikuatkuasakan secara retrospektif kepada kes kebankrapan yang ditadbir sebelum permulaan kuat kuasa Akta A1695. Dasar Peluang Kedua menyasarkan pelepasan sehingga 130,000 orang bankrap, sehingga tempoh masa satu tahun selepas Akta A1695 berkuat kuasa. Jumlah tersebut merupakan separuh daripada jumlah kes yang sedang ditadbir oleh Jabatan Insolvensi Malaysia,” katanya lagi.

Menurutnya, berkenaan dengan kategori bankrap yang boleh dilepaskan melalui sijil Ketua Pengarah Insolvensi turut dipinda dengan penambahan dua kategori baharu.

“Subseksyen 33B(2a) Akta 360 berkenaan dengan kategori bankrap yang boleh dilepaskan melalui sijil Ketua Pengarah lnsolvensi tanpa melalui prosedur bantahan pemiutang turut dipinda untuk menambah dua kategori baharu seperti yang berikut:

“Melalui pelaksanaan Akta A1695 juga, tadbir urus kebankrapan ditambah baik dengan penggunaan teknologi komunikasi jarak jauh bagi pengendalian mesyuarat pemiutang dan penyerahan notis dan dokumen pentadbiran kebankrapan secara komunikasi elektronik. Selanjutnya, sebagai inisiatif untuk mempercepat pentadbiran kebankrapan, kewajipan Ketua Pengarah Insolvensi untuk mengadakan mesyuarat pertama pemiutang kini dimansuhkan.

“Bagi memelihara kebajikan bankrap, Akta A1695 turut membuat semakan nilai mengenai perkara yang berikut: had nilai harta bankrap yang boleh dikecualikan daripada dibahagikan dalam kalangan pemiutang; dan had nilai bagi maksud kelayakan kes untuk ditadbir secara pentadbiran ringkas,” katanya lagi.

Dalam pada itu beliau berharap agar usaha kerajaan ini dapat memberikan peluang kedua kepada individu bankrap untuk meneruskan hidup lebih baik di samping bersama-sama menyumbang kepada pembangunan ekonomi.

“Penguatkuasaan Akta A1695 ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan tiada golongan rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan negara. Perkara ini juga membuktikan keprihatinan kerajaan untuk memberikan peluang kedua kepada bankrap untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik dan seterusnya dapat kembali bersama-sama untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.