PRK Pelangai: Jangan Leka, Terus Usaha Hingga Tamat Tempoh Pengundian – Tok Mat
BENTONG, 4 Okt – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan penyokong serta pendukung parti khususnya jentera di semua peringkat agar tidak mengambil sikap selesa dengan senario semasa menjelang baki tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai Sabtu ini.
Sebaliknya jelas beliau apa yang penting usaha berterusan hingga tamat tempoh pengundian dengan mengeluarkan seramai mungkin para pengundi bagi memastikan kemenangan berpihak kepada parti.
“Saya tidak mahu jentera dan pengundi rasa selesa… oh, Pelangai ini kubu kuat BN… saya minta semua pengundi dan penyokong di sini supaya keluar mengundi seramai mungkin. Peratusan pengundi keluar penting kerana akan meningkatkan undi kepada kita.
“Dan saya yakin di Pelangai ini BN dengan didukung oleh rakan-rakan PH (Pakatan Harapan) gerak kerja nampak cantik. Tempoh hari di Johor PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram kami pula menyokong gerak kerja mereka dan ini satu proses proses suai kenal bersama menjadi satu jentera yang kuat dan jentera yang akan dapat memenangkan BN pada PRK Pelangai,” katanya kepada UMNO Online.
Terdahulu beliau mengadakan walkabout rumah ke rumah bersama jentera setempat di Simpang Pelangai serta ke beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM).
Tambah Mohamad Hasan yang juga Timbalan Presiden UMNO, pengundi perlu bijaksana dan jangan sesekali tersalah pilih calon serta tidak terpengaruh dengan pelbagai dakyah menjelang hari pengundian Sabtu ini.
“Pengundi di sini mesti bijaksana dan jangan terpengaruh dengan dakyah-dakyah serta tohmahan. Yang penting pengundi di Pelangai ini kita nak mengundi wakil kita ke dalam kerajaan negeri Pahang dan ini bukan PRU (Pilihan Raya Umum)… PRU nak tubuhkan kerajaan tetapi hari ini kerajaan dah ada.
“Kerajaan Perpaduan dah ada cumanya kita mesti bijaksana untuk memilih wakil kita yang bersama dalam kerajaan negeri Pahang dan Persekutuan. Rugilah kalau kita memilih orang yang tidak bersama dengan kerajaan negeri dan juga pusat. Pilihlah wakil yang bersama-sama dengan kerajaan negeri dan persekutuan,” tambahnya.- UMNO Online