Kita Perlu Bersyukur Kerajaan Negeri Pahang Sentiasa Jaga Kebajikan Rakyat, Selari Ajaran Islam

BENTONG, 4 Okt – Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Arif berpandangan terlalu banyak polisi yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pahang dalam menjaga kebajikan rakyat serta kepentingan agama Islam di negeri itu.

Ujarnya, rakyat perlu bersyukur atas nikmat yang dikurniakan kerana apa yang diusahakan oleh kerajaan negeri adalah selari dengan ajaran agama Islam yang mementingkan kemaslahatan rakyat.

“Jika hendak diungkap, banyak polisi dan tindakan dilakukan Kerajaan Pahang pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang jelas bertujuan membela nasib umat Islam dan menjaga kesucian agama Islam.

“Antaranya, sebanyak 350 Rumah Rakyat Pahang (RRP) dibina tahun ini (tiga bilik) yang berharga RM80 ribu sebuah yang diberikan percuma kepada rakyat miskin tegar terutama mereka tersenarai penerima E-Kasih dan tidak memiliki rumah atau rumah terlalu uzur. Begitu juga sebanyak 100 buah RRP lagi turut dibina untuk masyarakat Orang Asli,” katanya yang juga Exco Kerajaan Negeri Pahang.

Beliau berkata demikian ketika Sembang Santai Bersama Anak-Anak Muda di Simpang Pelangai, di sini.

Seterusnya ulas beliau lagi, kerajaan negeri tidak putus-putus memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan sepertimana pemilikan rumah secara percuma itu.

“Kerajaan manakah yang mampu berikan rumah percuma sebanyak ini yang memberi keselesaan dan kehidupan lebih baik kepada golongan miskin, ibu tunggal dan sebagainya.

“Fikirlah dengan hati yang ikhlas akan semua nikmat kebaikan dikecapi sebagai rakyat Pahang. Malah Kerajaan Pahang tidak putus-putus bantu rakyat, buat pembangunan, bawa kemajuan, agama Islam dijaga, Melayu dijaga dan semua bangsa juga dijaga dengan baik,” katanya lagi.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar itu, tidak terkecuali Kerajaan Pahang memberi bantuan kepada golongan miskin, anak-anak yatim, pelajar tahfiz, orang kurang upaya (OKU) dan sebagainya.

“Malah kerajaan negeri turut memberi Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kepada golongan miskin, anak yatim, tahfiz, OKU, B40, ibu tunggal, pemandu teksi, surau, (dan) masjid.

“… (begitu juga) nelayan, peniaga kecil, wanita, petani, warga emas, pelajar, guru-guru kafa, jemaah haji, murid darjah satu, kad diskaun pelajar, biasiswa, anak baru lahir, ibu yang mengandung, pasangan baru kahwin dan banyak lagi semuanya diberi bantuan dan kebaikan seperti ini telah dilakukan sejak beberapa tahun lalu hingga ke hari ini,” jelasnya.

Menurutnya, ini terbukti Kerajaan Negeri Pahang mengamalkan pemerintahan Islam yang sebenar yang membawa banyak kebaikan kepada agama, rakyat dan negeri.

“Kerana itu sebagai orang Islam kita wajib bersyukur apabila dikurniakan Allah SWT semua nikmat yang baik ini di bumi Pahang,” ujarnya.

Terdahulu beliau turut menziarahi beberapa buah rumah dan menzahirkan penghargaan kepada jentera parti dan keluarga angkat di Pelangai.

“Sebelum itu saya turut ziarah ke beberapa buah rumah penduduk di situ dan menzahirkan penghargaan kepada semua jentera dan keluarga angkat UMNO Pekan yang berkerja keras memastikan kemenangan di Pelangai begitu juga semua penduduk di kawasan ini,” ujarnya lagi. – UMNO Online

 

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.