Terbukti Prestasi Pahang Lebih Baik Berbanding Negeri Pembangkang – Wan Rosdy

BENTONG, 3 Okt – Rakyat diminta untuk lebih bijak menilai antara persepsi dan pencapaian prestasi Kerajaan Negeri Pahang yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) menerusi gabungan bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Ini kerana katanya, mengambil kira kedua-dua faktor tersebut menyebabkan pembangkang kekeringan idea dalam setiap ceramahnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

“Pembangkang ini mewujudkan persepsi supaya rakyat takut. Di Pahang ini tidak pernah dengar ceramah mencarut, perkara yang tidak elok pun disebut.

“‘This is Pahang’… Pahang lain caranya. Kita hormat tetamu, hormat orang dan bukannya cakap ikut suka dan buat kerja dan Pahang ini lain dari negeri lain.

“Pembangkang hendak lawan dari segi prestasi dengan ketiga-tiga negeri yang dijaga. Pendapatan di Kelantan sebanyak RM300 juta setahun, Pahang setakat hari ini RM950 juta hasil negeri Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ceramah mega Perpaduan Madani PRK DUN Pelangai, malam tadi.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu, exco-exco negeri Pahang dan pengundi-pengundi Pelangai.

Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata hanya di Pahang kerajaan negeri mengadakan skim tanah rakyat untuk anak generasi kedua Felda dan di negeri lain tidak ada skim tersebut.

“Kita telah isytiharkan 18 kawasan untuk buat rumah bagi generasi kedua iaitu 10 di Mempaga, empat di Jengka dan empat di Kuantan. Kerajaan Pahang bagi tanah dan diluluskan, bukan itu sahaja rumah rakyat Pahang diberikan secara percuma. Setiap ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dapat (peruntukan) 80 buah rumah bernilai RM75 ribu seunit. Malah masyarakat Orang Asli beri 100 unit buah rumah.

“Pembangunan dan kebajikan di negeri Pahang diteruskan dan sebanyak RM70 juta Bantuan Prihatin Pahang,” ujar ADUN Jelai itu lagi.

Dalam masa yang sama Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands itu mengingatkan kepada pengundi di Pelangai agar memangkah Datuk Amizar Abu Adam seterusnya menjadi wakil rakyat Pelangai.

“Jangan lupa pada 7 Oktober nanti keluar mengundi awal-awal, lihat calon nombor tiga Datuk Amizar, kita pangkah dan nobatkan sebagai wakil kita pada malam Ahad ini,” jelas beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.