Dr Asyraf Bidas Pihak Yang Masih Amalkan Kempen Fitnah, Timbulkan Persepsi

BENTONG, 3 Okt – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membidas pihak tertentu yang terus berkempen berpaksikan fitnah dan tohmahan dengan menimbulkan pelbagai dakwaan termasuklah kononnya kerjasama UMNO/Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) menjadikan negara ini ke arah sebuah negara sekular.

Beliau seterusnya mempersoalkan apakah mereka tahu dan sedar maksud sekular yang sebenar dan langkah tersebut menggambarkan mereka hanya sekadar bermain persepsi dan fitnah semata-mata.

“Saya nak jawab tindakan pihak tertentu yang berkempen. Mereka boleh kata apabila BN/UMNO bersama PH/Dap maka negara kita akan menjadi sebuah negara sekular. Dia tahu atau tidak apa itu negara sekular.

“Sekular…sekular ini maksudnya sebuah negara itu tidak boleh ada perlambangan, dasar, polisi yang memberikan keistimewaan sesebuah agama. Dalam konteks negara kita, Perkara Tiga Perlembagaan disebut sebagai Islam agama Persekutuan bukan agama rasmi.

“Negara ini ada status agamanya. Islam agama Persekutuan dan agama-agama lain bebas untuk diamalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Ceramah Mega Perpaduan Madani sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, di sini malam tadi.

Ceramah berkenaan turut menampilkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalannya yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pimpinan BN dan PH.

Dr Asyraf seterusnya menegaskan status Islam agama Persekutuan sama sekali tidak akan digadaikan.

“Cuma tidak akan mungkin status ini akan kita gadai. Kenapa…untuk meminda Perkara Tiga Perlembagaan Persekutuan kena ada dua syarat penting. Pertama mesti ada majoriti dua pertiga dan dalam konteks negara kita 148. Dap ada berapa kerusi…mereka hanya ada 40. Salah satunya Ahli Parlimen Bentong, YB (Yang Berhormat) Rara. Takkanlah YB Rara sebagai Islam sanggup menggadaikan agama.

“Kalau pun kononnya UMNO terjual, PKR terjual, orang Amanah terjual cukup 148 untuk meminda Perlembagaan ada syarat yang kedua. Walaupun cukup 148 atau dua pertiga, tetapi mesti mendapat perkenan Raja-Raja Melayu. Sembilan Sultan wajib perkenan. Apakah Raja-Raja Melayu akan menggadaikan agama Islam…tidak sesekali.

“Kerana di dalam Perlembagaan Perkara 5 Yang di-Pertuan Agong bersumpah dengan kalimah Wallahi, Wabillahi, Watallahi untuk pada setiap masa menjaga Islam sebagai agama persekutuan,” tambahnya.

Justeru tambahnya lagi masyarakat Pelangai diharap agar tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan sedemikian rupa.

“Jadi jangan kita terpengaruh dengan mainan sentimen murahan fitnah sahaja yang menjadi senjata mereka. Jadi jangan risau Pelangai kita menang 7 Oktober nanti kerajaan negeri Pahang tetap kerajaan BN/PH dalam sebuah Kerajaan Perpaduan.

“Kerajaan pusat tetap Kerajaan Perpaduan Malaysia dan paling penting Islam, Melayu, Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu tidak akan pernah UMNO gadaikan kerana ini prinsip kita bersama,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit