Tiada Pemilihan ‘Top 5’ Dalam Pas, Usaha Tunda Pertembungan Kumpulan Tertentu – Shaiful Hazizy

ALOR SETAR, 2 Okt – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berpendapat bahawa keputusan Pas untuk mengekalkan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang mampu menunda pertembungan kumpulan-kumpulan tertentu di dalam parti tersebut.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau memberi respons terhadap keputusan Pas yang tidak akan mempertandingkan jawatan ‘Top 5’ pada musim pemilihan kali ini dan berangapan bahawa parti itu bergantung kepada kuasa untuk terus relevan.

“Pas hanya sekadar sebuah parti politik yang bergantung kepada kuasa untuk terus relevan, bukan sebuah ‘divine messages’ daripada tuhan. Tidak menyokong Pas bukanlah tidak menyokong Islam atas dasar Pas adalah sekadar sebuah parti politik biasa yang sedang berusaha mengelak konflik dalaman semata-mata.

“Pas masih bergantung harap kepada aura Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk terus kekal relevan dan sebagai satu ‘magnet penyatuan’. Mengekalkan beliau dilihat mampu menunda pertembungan kumpulan-kumpulan tertentu di dalam Pas.

“Dalam erti kata lain, Abdul Hadi Awang ataupun dikenali sebagai ‘ayah chik’ ini masih dianggap sebagai ‘keramat politik’ yang masih sukar digoyah,” katanya.

Menurutnya, dengan mengekalkan ‘keramat politik’ ini akan memberi makna bahawa Pas tidak akan progresif, terus menjual agama dan memainkan naratif ancaman.

“Pas tidak akan mampu menterjemahkan imejnya sebagai ‘kerajaan menunggu’ sekiranya terus menerus bergantung kepada ‘keramat politik’ lama. Mengekalkan ‘keramat politik’ ini memberi makna bahawa Pas sama sekali tidak akan progresif, terus menjual agama dan memainkan naratif ancaman.

“Hakikatnya, politik jual agama dan ancaman terhadap kaum ini akan kekal sampai bila? Baik untuk negara? Bawa kestabilan?” katanya lagi.

Pada Jumaat media melaporkan lima jawatan tertinggi Pas iaitu presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden tidak akan dipertandingkan pada Muktamar Tahunan PAS ke-69 yang dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata ini kerana hanya ada masing-masing satu pencalonan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden manakala satu daripada empat calon naib presiden menarik diri. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.