Perak Terima Royalti NR-REE Hampir RM16 Juta Setakat Julai

IPOH, 26 Sept – Projek perintis perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang sedang beroperasi di Mukim Kenering, Hulu Perak dengan keluasan 87 hektar berjaya menjana hasil royalti hampir RM16 juta kepada Kerajaan Negeri.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata jumlah tersebut merupakan hasil daripada 10 kali pengeksportan nadir bumi karbonat (REC) ke negara China, setakat Julai lepas.

“Projek perintis ini turut membuktikan bahawa nadir bumi ini bukan radioaktif dan pengekstrakan melalui ‘in situ reaching’ merupakan kaedah yang terbaik dan tidak mencemarkan alam sekitar.

“Ekoran kejayaan projek perintis ini, kerajaan negeri berhasrat untuk meneruskan perlombongan pada keseluruhan kawasan yang telah mendapat kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) iaitu seluas 2,160 hektar,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohamad Fakhrudin Abdul Aziz (PN-Kamunting) mengenai sama ada kerajaan negeri berhasrat membuka kawasan perlombongan unsur nadir baharu di Perak dan kerajaan telah melaksanakan kajian tambahan kesan perlombongan ke atas pokok dan kualiti air di kawasan sekitar.

Saarani berkata operasi projek perintis itu dilaksanakan setelah memperoleh kelulusan daripada Kajian Penilaian Alam Sekitar daripada Jabatan Alam Sekitar, Kebenaran Merancang (KM) daripada Pihak Berkuasa Tempatan, Kajian Penilaian Impak Sosial (SIA) daripada PLANMalaysia serta Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong daripada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Negeri Perak.

Menurutnya penilaian untuk pembukaan kawasan baharu bagi perlombongan NR-REE di Perak, bergantung kepada suatu badan bebas melalui Jawatankuasa Audit yang dibentuk bagi tujuan pemantauan pelaksanaan projek perintis perlombongan NR-REE melibatkan 12 agensi teknikal dan penguatkuasaan serta beberapa jabatan.

“Kita amat bersyukur kerana Perak dikurniai dengan sumber mineral yang banyak dan satu daripadanya adalah NR-REE yang mampu memberikan hasil pendapatan yang lumayan kepada kerajaan negeri.

“Menurut kajian yang dilaksanakan oleh JMG Perak, anggaran deposit NR-REE di negeri ini adalah sebanyak 1,687,500 tan dengan nilai RM46.5 bilion berdasarkan harga pasaran REC semasa iaitu RM27,061.80 per tan,” katanya.

Beliau berkata satu daripada enam agenda yang digariskan dalam Pelan Perak Sejahtera 2030 adalah perlombongan bertanggungjawab dan kerajaan negeri akan berusaha untuk meningkatkan hasil menerusi sektor perlombongan namun pada masa sama tidak akan mengetepikan kelestariaan alam sekitar.

Saarani berkata bagi memenuhi hasrat dan memastikan aktiviti itu tidak memberikan impak kerosakan kepada alam sekitar, perlombongan dan pengoperasian hanya dibenarkan setelah semua kelulusan seperti Laporan EIA dan Laporan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP), Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong, kelulusan KM, kelulusan SIA dan kelulusan Laporan Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak (ESCP) diperoleh terlebih dahulu.

Katanya bagi kajian tambahan kesan perlombongan ke atas pokok-pokok pula, mesyuarat khas oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bersama JMG Perak dan penggerak projek telah memutuskan pemegang pajakan terlibat perlu melaksanakan kajian tumbesaran pokok dan kesuburan tanah di kawasan tapak projek serta mengemukakan laporan itu sebelum perlombongan dijalankan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.