Kolokium Timbang Tara Antarabangsa 2023 Bakal Beri Manfaat, Tutup Fitnah Dan Tuntutan Pihak Tertentu – Zambry

LONDON, 26 Sept – Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abd Kadir percaya bahawa Kolokium Timbang Tara Antarabangsa 2023 yang dianjurkan bakal memberi manfaat dan seterusnya menutup segala fitnah serta tuntutan pihak tertentu.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu hadir ke kolokium yang bertemakan ‘Kedaulatan dan Kekebalan Negara dalam Timbang Tara Komersial’ bagi menyampaikan ucapan penutup.

“Sejurus tiba di London, saya langsung ke ‘Kolokium Timbang Tara Antarabangsa 2023: Kedaulatan dan Kekebalan Negara dalam Timbang Tara Komersial’ di London bagi menyampaikan ucapan penutup.

“Sedikit info mengenai kolokium ini saya kongsikan. Kolokium ini membicangkan Timbang Tara berkaitan kes tuntutan Sulu dan ini merupakan anjuran kali ketiga dan terakhir. Kolokium pertama diadakan di Kuala Lumpur manakala yang kedua di Sabah bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan kes tuntutan Kumpulan Sulu,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Di dalam ucapannya, beliau turut menekankan kepentingan semua pihak untuk menghormati kedaulatan undang-undang, negara dan keutuhan wilayah disamping menegaskan agar segala eksploitasi diberhentikan.

“Antara fokus perbincangan, isu syarikat litigasi yang boleh menggugat kedaulatan sesebuah negara daripada premis tuntutan bentuk perdagangan.

“Dalam ucapan saya telah menekankan, antara lain, kepentingan kesemua pihak untuk menghormati kedaulatan undang-undang, kedaulatan negara dan keutuhan wilayah. Saya juga menegaskan keperluan untuk menghentikan sebarang eksploitasi dan penyalahgunaan sistem timbang tara antarabangsa seperti yang dilakukan oleh pihak yang mendakwa waris Sultan Sulu ke atas negara yang berdaulat seperti Malaysia.

“Saya percaya kolokium anjuran bersama Kerajaan Malaysia, Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), SOAS University of London Arbitration and Dispute Resolution Centre (SADRC) dan International Dispute Resolution Centre, London (IDRC) akan memberi manfaat dan seterusnya menutup segala fitnah serta tuntutan pihak tertentu,” katanya lagi.

Kolokium Timbang Tara Antarabangsa London anjuran Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri serta rakan kerjasamanya hari ini berjaya menghimpunkan pakar perundangan dan industri bagi membincangkan batasan timbang tara antarabangsa khususnya terhadap negara berdaulat seperti dalam kes Sulu yang membabitkan Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata persidangan itu telah meneliti isu teras yang timbul daripada kes berprofil tinggi serta membabitkan tuntutan berbilion dolar itu yang menyaksikan Malaysia baru-baru ini berjaya memperoleh penghakiman penting daripada Mahkamah Rayuan Paris dan Mahkamah Rayuan The Hague.

Acara pada kolokium tersebut menampilkan beberapa siri perbincangan panel mengenai cabaran bidang kuasa dalam timbang tara pelaburan, kesan tuntutan pelaburan ke atas negara dan kedaulatan serta keutuhan wilayahnya dan peranan pembiayaan pihak ketiga untuk mendapat keadilan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.