HAWA Bawa Peranan Tersendiri Penghubung Rakyat Dan Kerajaan – Mohamad

AYER KEROH, 26 Sept – Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga (HAWA) membawa signifikan yang tersendiri kepada penghubung di antara rakyat dan kerajaan.

Penasihat HAWA, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ianya termasuk kepada peranan HAWA untuk pemerkasaan dalam bidang pendidikan ke arah memacu kemajuan negara.

“Saya ingin mengucapkan setinggi syabas dan tahniah kepada HAWA yang dipengerusikan sendiri oleh Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang HAWA ini bukan merupakan perkara asing kepada beliau kerana semasa di dalam kerajaan beliau adalah menteri yang bertanggungjawab mengenai wanita dan keluarga.

“HAWA berperanan sebagai penghubung untuk menyampaikan dasar-dasar kerajaan, menyampaikan masalah rakyat pada kerajaan. Termasuk berkisar kepada kepentingan pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik kepada masyarakat dan negara.

“… kerana untuk menjadi negara maju adalah cita-cita kita, tetapi negara maju tidak dapat dicapai statusnya oleh kita kalau masih berada di takuk yang lama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan selepas Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka, semalam.

Turut hadir adalah Timbalan EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, Rosli Abdullah; Pengerusi HAWA Malaysia, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Sementara itu, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO ketika berucap berharap rakyat dapat membudayakan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik untuk manfaat kepada negara.

Katanya ini kerana empat elemen tersebut adalah penyelesaian kepada semua krisis yang di hadapi dunia pada ketika ini.

“Pendidikan STEM yang kukuh, maju dan canggih adalah syarat untuk menjadi negara maju. Mana ada negara maju tetapi mundur sainsnya. Mundur teknologi dan terkebelakang standard matematiknya.

“Jika Malaysia ingin menjadi negara maju, madani, budaya tinggi dan peradaban unggul maka STEM adalah prasyaratnya,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Mohamad juga turut meluahkan kebimbangan beliau dengan pencapaian pendidikan STEM negara yang tidak menunjukkan peningkatan ketara.

Jelas beliau lebih malang lagi jumlah pelajar-pelajar Melayu dan Bumiputera dalam bidang STEM menunjukkan kedudukan yang kurang memuaskan.

“Ramai di kalangan pelajar kita yang tidak minat STEM. Mereka meninggalkan STEM kerana mereka tidak suka kepada kesukaran mempelajarinya.

“Ini harus berubah. Manakan dapat mutiara yang indah, jika tidak kita menyelam untuk mendapatkannya. Setelah lebih enam dekad kita merdeka, memajukan bangsa, menjadi bangsa yang saintifik, masih terus menjadi cabaran besar dan ia harus menjadi sesuatu yang kita perjuangkan,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.