Budayakan Kepentingan Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan Dan Matematik Dalam Masyarakat – HAWA

KUALA LUMPUR, 26 Sept – Pertubuhan Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga Malaysia (HAWA) berharap ilmu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dapat dibudayakan dengan berkesan oleh semua peringkat masyarakat.

Pengerusinya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata pengajian bidang ini perlu diterapkan kepentingannya dalam masyarakat hari ini selari dengan kepantasan perkembangan STEM dalam pemudah cara pada masa hadapan.

”HAWA berpendirian pembudayaan STEM tidak boleh digerakkan secara eksklusif oleh satu pihak sahaja untuk kita mendapat impak yang holistik dan menepati matlamat,” katanya.

Dengan itu, HAWA telah menerokai dan menjalin kerjasama pintar dengan semua pemegang taruh untuk membudayakan ilmu STEM dalam kalangan rakyat.

“Kerjasama pintar dengan pemain-pemain industri, institusi-institusi pengajian, agensi-agensi kerajaan dan banyak lagi pihak lain harus diterokai dan dijadikan satu inisiatif untuk kita terus mengoptimumkan potensi-potensi STEM untuk kemakmuran negara dalam semua bidang.

”Masyarakat perlu juga dilengkapi dengan pengetahuan dan maklumat terkini berkenaan ancaman terhadap diri dan harta yang boleh timbul atas kerakusan pihak-pihak menyalahgunakan kemudahan-kemudahan yang tercipta dari perkembangan STEM,” katanya.

Katanya lagi, HAWA Malaysia beriltizam untuk terus menjadi konduit dua hala penyampaian isu dan solusi di antara masyarakat dan pihak berkuasa untuk membantu mengekang ancaman-ancaman nyata kepada masyarakat akibat penyalahgunaan kemudahan teknologi.

Berlanjutan dengan itu, HAWA Malaysia melalui Kumpulan Focus HAWA Tech dan HAWA Melaka pada semalam telah menganjurkan Seminar Pembudayaan STEM Bagi Memperkasa Masyarakat Madani di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

HAWA berharap perkongsian dalam seminar ini oleh pemain industri yang cukup berpengalaman iaitu Ketua Pengarah Eksekutif Armor Australia, Hugh Oldfield dapat memberi sudut pandang yang mampu mencetus minat masyarakat membudayakan STEM.

Program tersebut juga turut menjemput Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay untuk berkongsi sudut pandang berkenaan membendung jenayah siber, ianya turut disertai oleh ahli panel Pengarah Pusat STEM Universiti Malaya, Ir Dr Mas Sahidayana Mokhtar serta Profesor Madya Dr Sharifah Sakinah Syed Ahmad selaku moderator.

Manakala Majlis Perasmian Penutup Seminar Pembudayaan STEM Bagi Memperkasa Masyarakat Madani disempurnakan oleh Penasihat HAWA yang juga Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Malah satu dokumen Inisiatif Kerjasama Perkongsian Pintar STEM dan Keselamatan telah ditandatangani dan dimeterai di antara HAWA Melaka, Pusat STEM UTeM, Pusat STEM Universiti Malaya dan Protection Technologies (M) Sdn Bhd.

Melalui kerjasama ini, pihak-pihak yang terlibat telah mengikrarkan komitmen untuk meneruskan inisiatif-inisiatif pembudayaan STEM secara berkala dengan kesedaran berkenaan keselamatan kepada semua peringkat masyarakat. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.