UMNO/BN Mampu Pertahan Kerusi DUN Pelangai – Mohd Noor

KUALA LUMPUR, 22 Sept – Ketua Penerangan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohd Noor Ahmad berharap UMNO/ Barisan Nasional (BN) dapat mengekalkan serta mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Ini kerana katanya, DUN Pelangai merupakan kubu kuat UMNO/ BN di bawah kepimpinan Menteri Besar Pahang merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Pelangai sebenarnya adalah kubu kuat UMNO/BN dan yakin di atas kepimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mampu memilih calon yang terbaik bagi mempertahankan kerusi DUN Pelangai seterusnya akan terus kekal milik UMNO/BN.

“Kemenangan yang ditunjukkan baru-baru ini pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram ianya memihak kepada Kerajaan Perpaduan serta yakin akan kemampuan Pengerusi BN Pahang dapat menyediakan jentera yang mampu untuk mempertahankan kerusi UMNO/BN.

“Kita yakin semangat kerjasama, usahasama dan sokongan daripada semua parti dalam Kerajaan Perpaduan kemenangan akan berterusan di DUN Pelangai,” katanya kepada UMNO Online di sini.

Dalam masa yang sama kata Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan itu, pengundi Pelangai dapat mengikut jejak pengundi Johor yang memilih mengekalkan Kerajaan Perpaduan untuk kestabilan politik.

“Saya harap pengundi memilih politik damai serta pertahankan perpaduan dan kesatuan rakyat pelbagai kaum, agama di negara ini serta mengekalkan kestabilan politik.

“Saya percaya pengundi Pelangai dapat membuktikan mereka mempertahankan budaya politik sepakat demi kestabilan negeri dan negara. Ini bermakna tiada tempat untuk politik kebencian dan permusuhan bertapak di DUN ini,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Pelangai diadakan pada 7 Oktober yang mana hari penamaan calon ditetapkan pada 23 September.

Kerusi DUN Pelangai diisytiharkan kosong apabila penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia selepas terbabit dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam, yang turut mengorbankan sembilan individu lain. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit