Lawatan Fadillah Ke India Perkukuh Hubungan Dua Hala, Kerjasama Sektor Perladangan, Komoditi

KUALA LUMPUR, 22 Sept – Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof dijadualkan memulakan lawatan rasminya ke India bermula 24 hingga 28 Sept 2023.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) berkata lawatan itu bertujuan memperkukuh hubungan dua hala dan meninjau peluang kerjasama dalam sektor perladangan dan komoditi antara kedua-dua negara.

Lawatan ini juga akan merangkumi beberapa siri mesyuarat peringkat tinggi dengan pegawai utama kerajaan dan pihak berkepentingan relevan lain, menumpukan kepada perbincangan dari segi perdagangan, pertanian, sekuriti makanan dan keselamatan.

“Antara aspek penting dalam lawatan ini adalah sesi libat urus dengan kerajaan negeri Telangana serta peladang sawit dan pekebun kecil di Telangana.

“Libat urus ini akan membincangkan pelbagai peluang kerjasama serta akses pasaran bagi minyak sawit di rantau ini,” menurut kenyataan itu.

Fadillah akan diiringi oleh delegasi peringkat tinggi termasuk wakil Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Majlis Minyak Sawit Malaysia, Lembaga Getah Malaysia dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

KPK berkata dalam lawatan itu, Fadillah dijadualkan menghadiri Persidangan Minyak Sayuran Lestari kedua yang dianjurkan bersama dengan Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).

Persidangan ini akan menghimpunkan bersama pihak berkepentingan utama dalam industri minyak sayuran untuk membincangkan trend global dan amalan lestari.

India adalah rakan dagangan keempat terbesar bagi sektor agrikomoditi Malaysia.

Pada 2022, eksport agrikomoditi Malaysia ke India menyumbang sebanyak 9.9 peratus daripada bahagian pasaran antarabangsa bernilai RM20.49 bilion, dengan peningkatan 0.4 peratus daripada RM20.4 bilion pada 2021.

Produk utama yang dieksport ke India adalah produk berasaskan sawit (RM18.45 bilion), diikuti kayu-kayan (RM1.01 bilion) dan getah (RM943 juta).

“India juta telah mengenal pasti kawasan seluas 0.6 juta hektar, terutamanya di Telangana bagi penanaman sawit, menandakan peluang kerjasama strategik dengan Malaysia dalam penyelidikan dan pembangunan, pengurusan penanaman dan pembangunan produk hiliran.

“Antara objektif utama misi ini adalah untuk mendapat pengiktirafan Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dalam industri minyak sawit India,” katanya.

Menurutnya MSPO 2.0 adalah selaras dengan keperluan kelestarian global termasuk Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG), tiada penebangan hutan, tanpa gambut dan tanpa eksploitasi (NDPE) dan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Berikutan kedudukan penting India sebagai pengguna terbesar minyak sawit, penerimagunaan piawaian MSPO 2.0 oleh kemudahan pemprosesan minyak sayuran India akan meningkatkan pengiktirafan dan menggalakkan pematuhan kepada piawaian kemampanan yang diiktiraf di peringkat global.

“Ini juga akan meningkatkan sokongan kepada Rangka Kerja Kelestarian Minyak Sawit India (IPOS),” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.