Azalina Saksi Pemeteraian MoU Antara AIAC, SADRC Bagi Menggalakkan Amalan Terbaik Timbang Tara

KUALA LUMPUR, 22 Sept – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said pada Khamis (21 Sept) menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) Kuala Lumpur dan School of African and Oriental Studies (SOAS) University of London Arbitration and Dispute Resolution Centre (SADRC), di London.

AIAC dalam satu kenyataan memaklumkan MoU itu bertujuan untuk meningkatkan kerjasama dan mempromosikan amalan terbaik dalam teknik penyelesaian pertikaian alternatif, termasuk timbang tara.

MoU itu akan membolehkan AIAC dan SADRC memperluaskan lagi aktiviti pengajaran dan penyelidikan dalam penyelesaian pertikaian alternatif selaras dengan amalan terbaik antarabangsa, bagi menyelaraskan usaha menggalakkan penggunaan penyelesaian pertikaian alternatif, menurut kenyataan itu.

Azalina dalam kenyataan itu berkata United Kingdom (UK) dan Malaysia mempunyai sejarah kerjasama yang panjang bagi menangani cabaran bersama dan pemeteraian MoU antara AIAC dan SADRC itu, akan mengeratkan lagi hubungan dan komitmen kedua-dua negara untuk mengembangkan amalan terbaik global dalam timbang tara.

Majlis menandatangani MoU itu turut dihadiri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK Datuk Zakri Jaafar, Peguam Cara Negara II Jabatan Peguam Negara Datuk Almalena Sharmila Johan dan Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Perdana Jabatan Menteri Dr Punitha Silvarajoo.

Ketua Perdagangan Perkhidmatan Undang-undang di Kementerian Kehakiman UK, Holly O’Callaghan turut hadir mewakil kerajaan UK, menurut kenyataan itu.

Pengarah AIAC Sundra Rajoo berkata perkongsian inovatif ini boleh meningkatkan usaha bersama untuk mempromosikan amalan terbaik dalam penyelesaian pertikaian alternatif, bukan sahaja memanfaatkan UK dan Malaysia tetapi juga rantau Asia dan Afrika yang lebih luas.

Pengarah SADRC dan Profesor Undang-undang Komersial Antarabangsa SOAS Emilia Onyema berkata SADRC berbangga menjadi rakan kongsi AIAC.

“Melalui pemeteraian MoU ini, kami berharap dapat mempromosikan teknik penyelesaian pertikaian alternatif di wilayah SOAS kami, Asia, Timur Tengah dan Afrika, dan khususnya Malaysia serta belajar daripada pengalaman bersama kami,” katanya.

Menurut AIAC, kerjasama itu akan merangkumi langkah bagi menggalakkan dan mempertingkatkan bidang kerjasama termasuk kursus dan latihan bersama, program penyelidikan, sumbangan kepakaran seperti penyelidik, ahli panel, penceramah dan syarahan jemputan kepada inisiatif yang berkongsi matlamat bersama.

Bidang kerjasama lain ialah penerbitan jurnal akademik, buku dan surat berita, program latihan pelajar dan menganjur atau menjadi hos bagi persidangan bersama, bengkel, seminar dan forum.

Menurut kenyataan itu, selain timbang tara, kedua-dua pusat itu komited untuk turut mempromosikan timbang tara Islam, timbang tara sukan, pengantaraan, adjudikasi dan penyelesaian pertikaian nama domain sebagai kaedah penyelesaian pertikaian alternatif.

AIAC memaklumkan, pemeteraian MoU itu dilakukan menjelang Kolokium Timbang Tara Antarabangsa London yang julung kali diadakan pada Isnin (25 Sept) di Pusat Penyelesaian Pertikaian Antarabangsa di London untuk mempertimbangkan peranan timbang tara antarabangsa yang melibatkan negara berdaulat.

Sepanjang sesi tiga panel, tetamu akan mendengar pandangan pakar tentang cabaran bidang kuasa dalam timbang tara pelaburan, kesan tuntutan pelaburan ke atas negeri dan kedaulatan mereka serta peranan pembiayaan pihak ketiga untuk mendapat akses kepada keadilan. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.