Syukur Atas Kepercayaan Parti, Amizar Tekad Sambung Legasi Allahyarham Johari

BENTONG, 21 Sept – Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bentong Datuk Amizar Abu Adam menzahirkan kesyukuran atas kepercayaan pucuk pimpinan parti kepadanya sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Anak generasi kedua Felda Chemomoi yang berada di dalam DUN Pelangai itu berkata amanah yang parti berikan akan disempurnakan sebaik mungkin dan seterusnya mahu menyambung legasi Allahyarham Datuk Seri Johari Harun sebelum ini yang berkhidmat di kawasan tersebut.

“Saya bersyukur kepada Allah SWT sebagaimana yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Menteri Besar (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) dan saya sangat terharu kerana diamanahkan oleh parti Barisan Nasional untuk mewakili di N.36 Pelangai.

“Bahawasanya ini adalah amanah parti dan saya sebagai menyambung legasi Allahyarham Datuk Seri Johari Harun, banyak perkara yang akan dilaksanakan dan telah dirangka. Dan saya rasa terpanggil untuk meneruskan legasi Allahyarham,” katanya kepada media selepas selesai majlis pengumuman calon BN di Dewan Majlis Perbandaran Bentong di sini malam tadi.

Hadir sama Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan, Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon dan Naib Presiden MIC Datuk M Asojan.

Turut hadir bekas Menteri Besar Pahang Tan Sri Adnan Yaakob yang juga merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai.

Terdahulu, Wan Rosdy yang juga Pengerusi BN negeri ketika membuat pengumuman itu berkata pemilihan Amizar, dibuat selepas perbincangan dan persetujuan bersama Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Amizar, 50, yang juga Pengerusi Kami Anak Felda (KAF) Wilayah Mempaga berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan dan Kepimpinan Strategik Universiti Sains Malaysia (USM).

PRK DUN Pelangai akan diadakan pada 7 Okt ini berikutan kematian Johari, 53, dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor pada petang 17 Ogos lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon berlangsung pada Sabtu ini, manakala 3 Okt sebagai hari undi awal.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat, calon Pakatan Harapan (PH) Ahmed Wafiuddin Shamsuri dan calon Pejuang Isa Ahamd. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit