Segala Yang Tak Kena Dengan Kes Najib, Wujud Konflik Kepentingan? – Farhan

KUALA LUMPUR, 20 Sept – Pengarah Komunikasi Strategi Pemuda UMNO Malaysia, Muhammad Farhan Khairuddin hari ini berkongsi beberapa perkara yang mencurigakan membabitkan kes dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Perkongsian di Facebook beliau itu bagi memberikan pencerahan kepada rakyat berkenaan adanya unsur ketidakadilan dalam perbicaraan Najib termasuk berkenaan konflik kepentingan berkenaan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

“Wujudnya konflik kepentingan bila mana Hakim Nazlan yang dilantik untuk membicarakan kes Najib juga merupakan individu terlibat dalam penubuhan SRC International Sdn Bhd kerana beliau merupakan bekas setiausaha syarikat Maybank dan penasihat undang-undang Maybank ketika itu.

“Macam mana individu yang ada kaitan dengan kes ini boleh pula dilantik untuk membicarkan kes yang sama?” soal beliau.

Menurut Muhammad Farhan, Najib juga telah dituduh sebelum siasatan yang lengkap dilakukan. Katanya ini kerana, mengikut prosedur undang-undang yang sebenar satu siasatan lengkap perlu dilakukan sebelum seseorang itu didakwa.

Namun tegasnya dalam kes Najib ini pendakwaan telah dilakukan dengan sangat terburu-buru dan gopoh tanpa siasatan lengkap dilakukan.

“Ini dibuktikan apabila bocor memo Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengatakan keseluruhan pasukan pendakwaan bersetuju bahawa tiada kes yang wujud untuk mendakwa Najib dan pertuduhan akan gagal serta merta.

“Dari 138 saksi tidak ada seorang pun yang berjaya mengaitkan Najib dengan kes IPIC dan 1MDB, Tommy Thomas tahu tentang perkara ini tetapi dia tetap teruskan pertuduhan terhadap Najib walaupun tanpa prima facie dan bukti yang kukuh,” ujar beliau.

Sementara itu katanya, Najib juga telah dinafikan perbicaraan yang adil seperti kenyataan yang dikeluarkan oleh tiga hakim prominen negara kerana permintaan Najib untuk menukar peguam telah dinafikan.

“Permohonan Najib untuk mendapatkan khidmat precouncil juga turut dinafikan. Najib telah dihantar ke penjara tanpa diwakili oleh peguam,” katanya.

Malah tambah Muhammad Farhan lagi, mahkamah telah menjatuhkan hukuman tanpa mendengar hujah rayuan Najib dan ini telah mencabuli prinsip keadilan iaitu hak untuk didengar dan hak untuk perbicaraan yang adil.

“Tandatangan saksi penting yang bertanggungjawab memindahkan dana dalam kes SRC terbukti telah dipalsukan tetapi tetap digunakan oleh pendakwaan sebagai bahan bukti, pelik kan?” soal beliau lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.