Isu Palestin: OIC Perlu Beri Tekanan Sistematik, Berterusan Kepada Jenayah Israel – Zambry

NEW YORK, 20 Sept – Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berpendirian bahawa Jawatankuasa Enam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu memberi tekanan yang sistematik dan berterusan kepada Israel atas jenayahnya terhadap kemanusiaan, diskriminasi dan penindasannya kejam serta dasar apartheidnya.

Ini kerana katanya, isu Palestin perlulah diperhalusi dengan serius dan pembelaan yang adil perlulah dilakukan.

“Isu Palestin sentiasa menjadi perjuangan dan dokongan Malaysia sejak dahulu hingga kini. Malaysia berpandangan isu Palestin perlu diperhalusi dengan serius dan pembelaan yang adil perlu dilakukan.

“Saya telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Enam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenai Palestin di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 dan mengesahkan sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia terhadap perjuangan Palestin serta komitmen negara terhadap agenda OIC, khususnya mengenai Al-Aqsa dan Palestin.

“Dalam mesyuarat ini, saya telah mengambil peluang untuk menzahirkan kebimbangan Malaysia terhadap kekejaman rejim Israel ke atas rakyat Palestin dan menyeru agar Keluarga besar OIC serta masyarakat antarabangsa menentang penindasan berterusan rejim Israel terhadap rakyat Palestin,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Tegasnya, tindakan mengutuk tindakan Israel sahaja adalah tidak mencukupi dan turut menyeru agar seluruh rakyat terus menyokong kerja serta mandat agensi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA).

“Saya menegaskan bahawa tindakan mengutuk Israel sahaja adalah tidak mencukupi malah kita perlu mencari jalan untuk memperjuangkan hak rakyat dan negara Palestin yang merdeka.

“Malaysia berpendirian bahawa Jawatankuasa ini perlu memberi tekanan yang sistematik dan berterusan kepada Israel atas jenayahnya terhadap kemanusiaan, diskriminasi dan penindasannya yang kejam dan dasar apartheidnya.

“Marilah kita terus menyokong kerja dan mandat Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) dalam memastikan nasib saudara kita di Palestin dijaga dengan baik,” katanya lagi.

Lebih daripada 150 pemimpin dunia berkumpul di sini dengan bermulanya Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 pada Selasa tanpa empat pemimpin daripada lima anggota tetap Majlis Keselamatan pertubuhan antarabangsa itu.

Pada tahun ini UNGA yang merupakan badan pembuat dasar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekali lagi menumpukan isu seperti krisis makanan global, kenaikan harga makanan, pemanasan global dan konflik Ukraine-Rusia. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.