Kekalkan BN Di Pelangai, Jangan Pilih Pemimpin Yang Banyak Alasan – Tengku Hafiz
BENTONG, 19 Sept – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Tengku Muhammad Hafiz Tengku Adnan menyeru para pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai untuk terus mengekalkan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal diadakan pada 7 Okt nanti.
Katanya, amat penting sokongan kepada wakil rakyat dilaksana selari dengan kerajaan negeri dan pentadbiran Persekutuan agar kesinambungan perancangan pembangunan dan kemajuan tempatan dapat dilakukan dengan lancar.
“DUN Pelangai adalah kerusi yang dimenangi oleh BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu maka sewajarnya sokongan ini dikekalkan bagi memastikan setiap perancangan yang telah dibuat oleh Allahyarham Datuk Johari dapat diteruskan nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan di DUN Pelangai melihat persiapan pusat operasi Pemuda BN bersama-sama dengan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bentong, Mohd Hafifi Jamaludin, semalam.
Jelas Tengku Muhammad Hafiz, dalam menentukan wakil rakyat tempatan, perlulah memastikan bahawa pemimpin yang dipilih mampu melaksanakan tanggungjawab dan akan dapat membawa suara rakyat secara terus kepada kepimpinan tertinggi sama ada di negeri atau di Pusat.
“Ambil contoh Putrajaya yang hari ini ditadbir oleh pembangkang, banyak usaha pembangunan dan perancangan penambahbaikan yang telah dibuat sebelum ini terhenti apatah lagi Ahli Parlimen Putrajaya kali ini tidak selari dengan pentadbiran kerajaan Pusat.
“Kerana itu, ia juga seringkali dijadikan alasan oleh wakil rakyat Putrajaya apabila gagal membantu rakyat iaitu mendakwa bukan lagi menteri, bukan kerajaan dan macam-macam lagi.
“Oleh itu, untuk warga Pelangai, saya harap gunakanlah peluang ini untuk memilih wakil rakyat yang benar-benar mampu membawa suara masyarakat, selari dengan kerajaan Negeri yang ditabdir oleh BN dan selari juga dengan kerajaan Pusat di bawah Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya.
Terdahulu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Pelangai diadakan pada 7 Oktober ini dengan 23 September sebagai hari penamaan calon.
PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina di Shah Alam pada 17 Ogos lalu
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Johari berjaya memenangi kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat. – UMNO Online