Sidang Parlimen Kecoh, Azalina Sindir PN Tidak Pisahkan Peguam Negara Daripada Pendakwaraya Apabila Berkuasa

KUALA LUMPUR, 18 Sept – Sidang Parlimen hari ini kecoh apabila Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menyindir Perikatan Nasional (PN) yang tidak berusaha untuk memisahkan Peguam Negara daripada kuasa pendakwaan sepanjang mereka memerintah sebelum ini.

Ini kerana katanya, dalam Perlembagaan ada mengatakan bahawa perkataan budi bicara hanya boleh digunakan oleh Yang di-Pertuan Agong namun Peguam Negara mempunyai hak untuk mendakwa dan melepaskan tertuduh dalam apa-apa kes sekali pun.

“Dalam Perlembagaan, perkataan budi bicara itu dipakai hanya pada Yang di-Pertuan Agong sahaja. Satu lagi manusia atas dasar ihsan namanya ialah Peguam Negara di bawah Perkara 145. Maknanya, budi bicara ini tidak boleh dipersoal.

“Dalam masa yang sama juga Peguam Negara yang menjadi penentu kepada keamanan dan keselamatan negara… jadi dia ada kuasa. Tuduhan yang diberi dan kuasa perlembagaan kepada Peguam Negara membolehkan beliau menuduh sesiapa sahaja termasuk Perdana Menteri, menteri kabinet, speaker dan juga pembangkang.

“Sebab itu saya sebut tadi, dalam perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong ada beberapa kuasa termaktub dan satu sahaja individu yang diberikan kuasa ihsan iaitu Peguam Negara. Jadi, bererti di sini setiap Peguam Negara mempunyai kuasa untuk mendakwa dan juga melepaskan,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Menurutnya yang juga Ahli Parlimen Pengerang itu, meskipun Hakim telah memutuskan agar tertuduh dilepas namun tidak dibebaskan, individu tersebut boleh didakwa semula sekiranya terdapat bukti baharu.

“Meskipun Hakim membebaskan tidak semestinya tidak boleh dituduh semula. Mana-mana orang yang dilepaskan dalam apa kes sekalipun, semua boleh dituduh semula. Kalau kita nak sebut ada elemen pendakwaan terpilih, berbagai Peguam Negara sebelum mana-mana tarikh mana-mana pemimpin politik, kita boleh periksa semula.

“Sebagai contoh, Tan Sri Tommy Thomas banyak kes yang dilepaskan. Itu hak beliau. Kemudian kita tengok mantan Peguam Negara, Tan Sri Idrus pun boleh buat apa yang dia mahu dalam pelbagai kes. Itu kuasa dia. Jadi, saya nak terangkan di sini, itu sebabnya Kerajaan Madani hari ini komited untuk memisahkan Peguam Negara daripada kuasa pendakwaan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Azalina turut menempelak kerajaan terdahulu (PN) yang tidak berusaha untuk memisahkan kedua-dua entiti tersebut dan hanya mampu menunding jari kepada kerajaan sedia ada.

“Ketiga, saya nak cakap satu sahaja kenapa masa YB Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mahu memisahkan AG? Kenapa tak pisah? Apabila YB kena, mula la nak cakap ‘selective persecution’. Apabila sebelah sini (kerajaan) kena, cakap padan muka. Apahal?

“Itu sebabnya, dalam isu ini kami di sini, cakap dan buat. YB di sana, bukan sahaja tak buat, cakap pun tidak. Berkuasa empat tahun. Jadi jangan nak cakap tentang ‘selective prosecution’ sebab Kerajaan Madani ini komited kepada tatakelola yang lebih adil.

“Sebab itu kami berpegang kepada prinsip ‘walk the talk’. Mereka, ‘they don’t walk and they don’t talk’,” katanya lagi.

Beliau berbahas di Dewan Rakyat pada hari ini sempena Penggulungan Perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi tahun 2023-2025. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.