Kes Ahmad Zahid: Sebarang Kecuaian Bakal Jadi Senjata Musuh Politik, Benam Kredibiliti Presiden UMNO – Peguam

KUALA LUMPUR, 18 Sept – Sebarang kecuaian yang terjadi bakal menjadi senjata musuh politik untuk membenamkan kredibiliti Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kata peguam pembelaan, Hamidi Mohd Noh.

Jelasnya, dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa Ahmad Zahid dilepaskan daripada 47 pertuduhan rasuah amat tidak benar kerana kes tersebut turut meliputi pecah amanah dan penggubahan wang haram.

“Syed Saddiq kata dalam satu kenyataan dia bahawa 47 kes rasuah telah dilepaskan dan dibebaskan. Sebenarnya fakta tersebut salah kerana 47 kes itu adalah termasuk dengan 12 kes pecah amanah. Kemudian, ada lapan kes rasuah dan 27 kes Pencegahan Penggubahan Wang Haram (AMLA). Mana datangnya 47 kes rasuah itu?

“Itu adalah fitnah dan tidak betul sebab beliau ada cakap bahawa PMX menormalisasikan perlakuan rasuah. Itu pun salah juga. Kalau kita ikut ‘majority rule’ dalam kes ini, ia adalah kes penggubahan wang haram tetapi yang utamanya adalah pertuduhan pecah amanah,” katanya pada sesi forum sempena Program Penerangan Isu-Isu Semasa anjuran Penerangan UMNO Malaysia, baru-baru ini.

Menurutnya, dalam isu penggunaan dana Yayasan Akalbudi untuk membayar kad kredit, pembantu beliau telah berlaku cuai dengan menggunakan cop tanda tangan tanpa sebarang rujukan dan pengetahuan.

“Dalam isu penggunaan dana untuk bayar kad kredit ini, pembantu beliau yang bernama Mejar Mazlina telah menggunakan cop tanda tangan di cek-cek Yayasan Akalbudi untuk membayarnya.

“Saya pun sebagai peguam Datuk Seri Zahid baru dapat tahu bahawa terdapat penggunaan cop tanda tangan atas cek selepas saya menerima dokumen daripada pihak pendakwaan. Sebenarnya, jelas bahawa kalau kita mahu isukan cek, kita perlu menurunkan tanda tangan dan tahu mengapa kita melakukan sedemikian.

“Tetapi, kalau cek itu kita isukan tersebut mengguna cop tanda tangan, adakah kita sedia maklum bahawa cek tersebut dikeluarkan? Jawapannya adalah tidak, kerana Mejar Mazlina simpan dua jenis cek Datuk Seri Ahmad Zahid. Pertama, cek peribadi beliau dan kedua cek Yayasan Akalbudi. Perkara ini terjadi kerana beliau tidak mahu merujuk kepada pemilik cek tersebut,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Hamidi turut memaklumkan bahawa Mejar Mazlina sendiri telah mengakui kecuaiannya sendiri ketika prosiding di mahkamah.

“Adakah saya yang cakap dia cuai? Tidak, Mejar Mazlina sendiri yang mengaku bahawa beliau cuai di dalam mahkamah sebanyak 42 kali dia pengakuan. Untuk cek tanda tangan yang telah digunakan dan dipertuduhkan, cek tersebut telah di ‘pre-sign’. Ianya berlaku apabila Datuk Seri Zahid tidak berada di Malaysia.

“Jadi, cek tersebut telah digunakan untuk membayar kad kredit dan Datuk Seri Zahid sendiri tidak tahu kerana beliau percaya kepada pembantunya. Maknanya, empunya cek ini sendiri tidak mengetahui bahawa ianya telah digunakan untuk membayar kad kredit.

“Selepas beliau menyedari perkara ini berlaku, segala wang Yayasan Akalbudi ini telah dipindahkan ke sebuah firma guaman untuk dipegang atas amanah. Siapakah firma guaman tersebut? Lewis &Co. Kenapa RM 17.3 juta yang dipindahkan itu pun menjadi isu? Kerana pemindahan itu berlaku kononnya tanpa pengetahuan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Akalbudi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Hamidi turut beranggapan bahawa segala pertuduhan yang dikenakan ke atas Presiden UMNO itu tidak boleh diguna pakai dan Ahmad Zahid menggunakan platform betul untuk membersihkan namanya.

“Apabila Ahli Lembagai Pengarah Yayasan Akalbudi itu dipanggil di mahkamah, apa yang mereka jawab? Mereka kata, tiada masalah kerana sedia maklum dengan pemindahan wang tersebut dan tahu bahawa Mazlina cuai dalam mengendalikan cek yayasan.

“Itulah yang digunakan oleh musuh-musuh politik untuk membenamkan Presiden UMNO. Selama lima tahun beliau berjuang naik turun mahkamah untuk menjaga parti tuan-tuan sambil menguruskan parti, menjalankan tugas-tugas sebagai presiden. Tetapi tuduhan tersebut tidak ‘valid’,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.