Ahmad Zahid Tegaskan Kerajaan Sentiasa Komited Laksana Pembangunan, Pastikan Masyarakat Sejahtera

KUALA LUMPUR, 18 Sept – Kerajaan sentiasa komited melaksanakan fungsi dan peranannya untuk membangunkan masyarakat luar bandar supaya jurang kemakmuran dengan bandar dapat dikurangkan.

Demikian tegas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam ucapan semasa menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, KKDW beriltizam memastikan masyarakat luar bandar sejahtera dalam pelbagai aspek kehidupan meliputi sosial, ekonomi, dan budaya.

“Pembangunan luar bandar yang inklusif ini adalah selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang menjadi dukungan utama Kerajaan Perpaduan pada hari ini,” katanya.

Jelas Ahmad Zahid, KKDW melalui agensi-agensi di bawahnya seperti MARA, KEMAS, FELCRA, Bahagian Pembangunan Usahawan Desa dan Bahagian Pembangunan Ekonomi Komuniti telah mengambil tindakan proaktif dalam usaha membangunkan usahawan luar bandar di seluruh negara termasuk wilayah Sabah dan Sarawak.

“Ini termasuklah untuk meningkatkan sosio-ekonomi masyarakat dengan memberikan latihan dan khidmat bimbingan pembangunan usahawan, penyediaan premis perniagaan dan pembiayaan perniagaan dengan memberi fokus kepada pembangunan industri setempat.

“KKDW turut melaksanakan Program Pendigitalan Usahawan Desa yang bertujuan membantu usahawan-usahawan desa mendigitalkan perniagaan mereka dari segi pemasaran mahupun pengoperasian perniagaan yang diusahakan.

“Selain daripada itu, program pembangunan keupayaan komuniti luar bandar turut dilaksanakan di 21 Pusat Komuniti Desa (PKD) yang memfokuskan kepada kemahiran seperti menjahit, memasak, membaiki alat elektrik, pertanian, membuat produk kecantikan, urutan tradisional, kraftangan dan lain-lain.”

Dalam hal lain, Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa Kerajaan sedang melaksana semakan semula Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) bagi memperhalusi beberapa peruntukan membabitkan masyarakat itu termasuk isu tanah Orang Asli yang melibatkan perbezaan dan pertindihan bidang kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

“Sebagai permulaan, Kajian Pembangunan Kerangka Perundangan dan Mekanisme bagi Pentadbiran Perkahwinan dan Perceraian Adat Orang Asli di Semenanjung yang sudah bermula sejak Jumaat lalu.

“Strategi bagi memajukan masyarakat Orang Asli sudah digariskan dalam Pelan Strategik Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang memberi fokus kepada pembangunan sosioekonomi golongan berkenaan.

“Ia dirangka dalam usaha meningkatkan kualiti hidup melalui penyediaan infrastruktur lengkap di seluruh perkampungan Orang Asli,” jelasnya.

Mengenai pertambahan pegawai teknikal di Jakoa, Ahmad Zahid berkata, ia menjadi antara hala tuju perjawatan jabatan berkenaan selain perkara itu sudah dibincang di peringkat kementerian.

“Strategi bagi memajukan masyarakat Orang Asli telah digariskan di dalam Pelan Strategik Jakoa yang memberi fokus kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat Orang Asli. Pelan ini dirangka dalam usaha meningkatkan kualiti hidup melalui penyediaan infrastruktur yang lengkap di seluruh perkampungan Orang Asli.” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.