Pastikan Kesinambungan Perpaduan Terjalin Ditambah Baik, Diwarisi Ke Generasi Mendatang – Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 16 Sept – Sempena sambutan Hari Malaysia, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengajak rakyat secara bersama memastikan kesinambungan perpaduan yang terjalin ditambah baik serta diwarisi ke generasi mendatang.

Katanya ini kerana negara ini dinamakan Malaysia selepas berlakunya persefahaman dan penggabungan antara beberapa negeri yang padanya diisi oleh masyarakat berbilang kaum, etnik dan keturunan.

“Sejak daripada hari di mana Malaysia ditubuhkan, negara ini tidak pernah berpaling ke belakang lagi. Saban hari ia diteruskan dengan pelbagai kejayaan peringkat setempat dan antarabangsa dalam pelbagai bidang.

“Ramai yang mencari formula kekuatan kita sehingga ada yang lupa bahawa penyatuan dan kebersamaan antara bangsa merupakan tonggak utama keberhasilan ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata kini, negara dan seisi rakyatnya harus bergerak maju menuju masa depan yang jauh lebih mencabar.

“Ramai yang melontar tanda tanya, mampukah kita mencipta lebih banyak kejayaan di masa depan?

“Renung kembali sejarah lalu, dari mana datangnya penyatuan yang digelar sebagai perpaduan ini? Tidak lain, ia berpunca daripada pembentukan Malaysia yang menyulam jiwa-jiwa bangsa atas nama sebuah negara.

“Jawapannya sudah tentu positif. Kita semua bakal mencipta lebih banyak kejayaan dalam apa jua bidang di peringkat antarabangsa, asalkan masing-masing menjaga formula perpaduan antara kaum atas nama Malaysia,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.