16 September Harus Dijadikan Detik Penting Untuk Rakyat Malaysia – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 16 Sept – 16 September harus dirai dan dijadikan tarikh penting untuk rakyat negara ini yang telah mencantumkan tiga wilayah untuk membentuk sebuah negara Malaysia.

Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata sehingga hari ini Malaysia menjadi sebuah negara yang makmur, aman dan damai.

“Marilah sama-sama kita raikan pewujudan Hari Malaysia dan syukuri selama berpuluh-puluh tahun ini yang telah kita nikmati.

“16 September adalah hari yang dinanti-nanti seluruh rakyat Malaysia di mana pewujudan sebuah negara Malaysia telah terbentuk dengan termetrainya perjanjian antara tiga wilayah iaitu Wilayah Persekutuan Tanah Melayu, Wilayah Sarawak dan Wilayah Sabah,” katanya sempena ucapan Hari Malaysia yang disambut hari ini.

Pada masa sama, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan percaya Sabah juga adalah sebuah wilayah yang mampu untuk dibangun untuk dijadikan sebuah wilayah dengan kemajuan yang lebih baik daripada wilayah-wilayah yang lain.

“Mari sama-sama kita dengan bangga untuk menyambut Hari Malaysia pada setiap 16 September,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.