Kerajaan Perlu Tegas Terhadap Pemaju Gagal Siapkan Projek Perumahan Rakyat – Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 15 Sept – Perumahan rakyat mampu milik dibangkitkan di Parlimen semalam dalam usaha memastikan rakyat mendapat tempat tinggal yang sebaiknya sekaligus memberikan kehidupan yang lebih selesa.

Perkara berkenaan dibangkitkan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang melihat selain tumpuan pembinaan perumahan berkenaan, projek ‘sakit’ yang melibatkan isu tersebut juga perlu diberikan tumpuan sewajarnya oleh kerajaan.

“Selain daripada menyokong agenda Kerajaan Perpaduan untuk membina 500,000 rumah mampu milik, saya mahu menarik perhatian pihak berwajib agar dalam masa sama, turut menyelesaikan projek-projek perumahan yang ‘sakit’ atau terbengkalai dalam negara kita.

“Ini termasuklah projek-projek perumahan Generasi Kedua dalam kawasan FELDA,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), di Parlimen, Khamis.

Pada masa yang sama Jalaluddin turut mencadangkan agar kerajaan menyenarai hitam mana-mana pemaju yang dilantik namun gagal menyiapkan projek yang diberikan.

“Saya juga nak cadangkan agar mana-mana pemaju perumahan yang tidak berjaya atau tidak mampu menjalankan tugas mereka untuk membina projek perumahan setelah dilantik oleh kerajaan, mereka ini terus disenaraihitamkan tanpa kompromi.

“Jika tidak, kerajaan terpaksa menanggung kerugian projek ‘sakit’ tersebut yang akhirnya memberi kesan terhadap duit rakyat kita,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.