Hari Malaysia: Hang Tuah Din Gesa Rakyat Hargai Keamanan Yang Telah Dinikmati

KUALA LUMPUR, 15 Sept – Ketua Penerangan UMNO Perak, Datuk Hang Tuah Din menyifatkan rancangan Pemuda Perikatan Nasional (PN) untuk mengadakan demonstrasi pada hari Malaysia dilihat sebagai tidak menghormati Hari Malaysia.

Menurut beliau 16 september merupakan hari yang cukup bermakna selain sarat dengan semangat hormat menghormati antara satu sama lain seluruh rakyat di negara yang berbilang kaum dan berlainan fahaman agama.

“Saya rasa ini adalah perbuatan kebudak-budakan. Apa sahaja yang rasa tidak puas hati maka kita ada saluran untuk menyatakan perasaan kita.

“Mengajak generasi muda untuk turun berdemonstrasi bukan saja tidak menghormati perayaan nasional malah ianya turut memberi isyarat yang tidak baik bagi generasi pasca merdeka,” katanya ketika ditemui UMNO Online di sini.

Memetik laporan Pemuda Perikatan Nasional (PN) dilapor akan mengadakan demonstrasi ‘Himpunan Selamatkan Malaysia’ pada esok.

Ketua UMNO Bahagian Gopeng seterus menambah perpaduan merupakan suatu nikmat yang amat berharga dan aset penting buat Malaysia dan ianya perlu terus dipupuk dan dipelihara agar kemerdekaan negara terus dipertahankan.

“Sepatutnya rakyat Malaysia harus bangga apa yang dicapai oleh negara semenjak kemerdekaan sehingga kini yang jelas menuju ke arah yang lebih maju dari negara-negara lain.

“Sebagai rakyat Malaysia sepatutnya kita bangga dengan apa yang negara ini capai hingga ke hari ini walaupun belu sampai ke tahap negara maju tetapi proses untuk ke arah itu jelas telah terlihat bahawa kita menuju ke arah tersebut.

“Memang tidak boleh dinafikan berbagai cabaran yang dilalui darapada zaman mula merdeka sehingga tertubuhnya Malaysia dan hingga ke hari ini. Cabaran tetap ada tetapi sebagai rakyat Malaysia kita harus bersama-sama memikul tanggungjawab dan membina satu negara bangsa yang hebat. Saya mengucapkan selamat hari Malaysia pada semua seluruh rakyat Malaysia,” tambahnya lagi. – UMNO Online 

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.