PRK: UMNO Pekan Fokus Gerak Kerja Untuk Bantu Menangkan Calon BN DUN Pelangai

PEKAN, 14 Sept – UMNO Pekan akan memberi fokus dan bekerja keras untuk memastikan calon Barisan Nasional (BN) yang bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Bentong memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 7 Oktober depan.

Ketua UMNO Pekan, Datuk Mohammad Fakhruddin Ariff berkata, bagi mencapai matlamat itu, kesiapsiagaan jentera UMNO Pekan penting untuk membantu calon BN yang mewakili Kerajaan Perpaduan.

“Saya berharap semua kepimpinan, jentera UMNO Pekan memberi fokus yang maksimum dan berusaha sehabis baik berpandukan perancangan gerak kerja yang telah ditetapkan.

“UMNO bakal mengumumkan calon yang mewakili BN sebelum hari penamaan calon pada 23 September ini,” katanya satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum itu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan dan Biro Politik UMNO Pekan di Bilik Mesyuarat Bangunan UMNO Pekan di sini.

Mohammad Fakhruddin berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah pun menyampaikan amanat agar jentera parti terus bekerja keras demi memastikan DUN Pelangai dapat dipertahankan BN.

Ujarnya, besar jasa Allahyarham Datuk Seri Johari Harun kepada penduduk di DUN Pelangai selama ini dan ia perlu terus kekal dalam BN.
“Kemenangan BN nanti mampu meneruskan kesinambungan usaha yang dilaksanakan arwah sebelum ini, Insya-Allah.

“Semoga Allah SWT permudahkan segala usaha UMNO demi agama, rakyat, kemakmuran dan kestabilan,” katanya lagi.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina di Shah Alam pada 17 Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Johari menang dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Pelangai diadakan pada 7 Oktober ini dengan 23 September sebagai hari penamaan calon dan 3 Oktober hari pengundian awal. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit