Isu DNAA: Semua pihak Dinasihat Bertanggungjawab, Tidak Keluarkan Kenyataan Kelirukan Masyarakat

KUALA LUMPUR, 15 Sept – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menasihatkan semua pihak agar bertanggungjawab serta tidak mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan masyarakat berikutan isu Discharge Not Amounting To Acquittal (DNAA) yang dibangkitkan oleh sesetengah pihak yang mengatakan ia tiada dalam Islam.

Ini kerana katanya kenyataan yang dikeluarkan tersebut adalah tidak tepat serta boleh dipertikaikan.

“Undang-undang berkaitan hukum jenayah Islam dilaksanakan di mahkamah-mahkamah Syariah di Malaysia setakat bidangkuasa yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang bertulis yang lain. Undang-undang ini terdiri daripada undang-undang substantif iaitu berkaitan dengan kesalahan-kesalahan dan juga undang-undang prosedural iaitu berkaitan dengan tatacara.

“Badan Perundangan Negeri mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang ini dan ianya berkuatkuasa hanya ke atas orang-orang Islam yang melakukan kesalahan di negeri berkenaan.

“DNAA atau Dilepaskan Tanpa Dibebaskan merupakan satu konsep yang diamalkan di dalam undang-undang prosedur jenayah. Konsep ini menetapkan bahawa Orang Kena Tuduh (OKT) dilepaskan buat sementara waktu atas permohonan pihak pendakwaan dan OKT boleh didakwa semula atas pertuduhan berkenaan pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal terbabit, hari ini.

Jelasnya, dalam konteks mahkamah Syariah, DNAA ini diperuntukkan secara nyata di dalam seksyen 103 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 560] yang memperuntukkan seperti berikut:

Seksyen 103. Pendakwa bolehlah berhenti daripada mendakwa selanjutnya pada mana-mana peringkat.

(1) Pada mana-mana peringkat apa-apa perbicaraan, sebelum penghakiman diberikan, Pendakwa boleh, jika difikirkannya patut, memberitahu Mahkamah bahawa dia tidak bercadang untuk mendakwa tertuduh selanjutnya atas pertuduhan itu; dan sesudah itu semua prosiding atas pertuduhan itu terhadap tertuduh bolehlah digantung dengan kebenaran Mahkamah dan, jika digantung sedemikian, tertuduh hendaklah dilepaskan daripada pertuduhan itu.

(2) Pelepasan sedemikian tidaklah terjumlah kepada suatu pembebasan melainkan jika Mahkamah mengarahkan sedemikian.

“Peruntukan seperti Seksyen 103 Akta 560 ini terdapat di dalam semua Enakmen/Ordinan Prosedur/Tatacara Jenayah Syariah negeri-negeri (kecuali di Negeri Kedah, ianya diperuntukkan di dalam seksyen 104). Peruntukan ini juga adalah sama dengan peruntukan seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah [Akta 593] yang digunapakai di mahkamah sivil.

“Akta 560 merupakan satu undang-undang yang telah diluluskan Parlimen pada 27 Mac 1997 dan telah mula berkuatkuasa pada 1 April 1997. Akta 560 ini merupakan satu undang-undang model yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil, iaitu sebuah Jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) untuk menggubal model undang-undang Islam bagi tujuan penyelarasan dan penyeragaman di seluruh negara.

“Penggubalan Akta 560 telah dibuat dengan teliti bagi memastikan ianya memenuhi kehendak semasa pelaksanaan undang-undang Islam dan yang paling penting, Akta tersebut tidak bercanggah dengan hukum Syarak.”

Katanya, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berpendapat pandangan yang mengatakan bahawa konsep DNAA yang telah diperuntukkan dalam undang-undang prosedur/tatacara jenayah Syariah di Malaysia tidak selaras dengan hukum jenayah Islam adalah tidak tepat.

“Undang-undang prosedur/tatacara adalah berhubung rapat dengan prinsip maslahah yang perlu mengambilkira keadaan dan pendekatan semasa pelaksanaan sesuatu undang-undang agar ianya menepati objektif syarak dalam pentadbiran keadilan.

“Dr. Abdul Karim Zaidan di dalam kitabnya Nizaam al-Qadha’ Fi al-Syari’aat al-Islamiyyah ada menyatakan bahawa Hakim boleh menggugurkan sementara dakwaan bagi membolehkan pendakwa mengemukakan semula saksi-saksi atau keterangan. Jika keputusan pengguguran kes oleh hakim bukan atas sebab kegagalan pihak pendakwa mengemukakan keterangan, maka pihak pendakwaan masih lagi boleh meneruskan pertuduhan berkenaan dengan mengemukakan saksi-saksi dan keterangan baru.

“Prinsip ini adalah menetapi konsep DNAA, di mana tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan di mana pertuduhan berkenaan boleh diteruskan semula di hadapan mahkamah di masa hadapan.

Terang Dr. Mohd Na’im, Dr. Abdul Kadir Audah di dalam kitab al-Tasyri’ al-Jina’i al-Islamiyy menyatakan prinsip umum bahawa pemerintah diberi kuasa yang agak terbuka dalam mana-mana kesalahan takzir untuk memaafkan tertuduh pada semua peringkat prosiding mahkamah. Prinsip inilah yang terkandung dalam peruntukan berkaitan DNAA di mahkamah sebagaimana seksyen 130 Akta 560 dan seksyen 254 Akta 593.

“Rujukan kepada Kanun Prosedur Jenayah Qatar (No.3, Tahun 2004), terdapat juga peruntukan yang serupa di bawah seksyen 13 berkenaan kuasa Mahkamah untuk memberhentikan prosiding atas apa-apa sebab yang dibenarkan oleh undang-undang pada mana-mana peringkat.

“Justeru, DNAA merupakan suatu konsep yang telah diterima pakai di dalam sistem perundangan semasa di Malaysia dan negara-negara luar, di mahkamah sivil ataupun mahkamah Syariah,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.