Syed Saddiq Retorik, Tidak Konsisten Dalam Perjuangan Antara PN Dan Kerajaan Perpaduan – Ahmad Faisal

PUTRAJAYA, 13 Sept – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dibidas berikutan menarik diri sebagai penyokong Kerajaan Perpaduan atas alasan langkah Kerajaan Perpaduan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihatnya bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undang.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim dalam hal ini mempersoalkan tindakan Syed Saddiq yang selalu mengatakan pejuang menentang rasuah.

“Anda kata anda adalah pejuang menentang rasuah dan sanggup kehilangan jawatan demi menentang rasuah. Tahun 2022 ketika negara diterajui Kerajaan Perikatan Nasional (PN), 40 kes ‘rasuah’ Datuk Seri Ahmad Zahid telah digugurkan, anda telah nyatakan yakin dengan badan kehakiman.

“Tapi sekarang tahun 2023 negara diterajui Kerajaan Perpaduan, apabila 47 kes ‘rasuah Datuk Seri Zahid dibebaskan tanpa dilepaskan, anda telah menarik sokongan terhadap kerajaan.

“Anda sendiri tidak konsisten dalam perjuangan yang konon-konon menentang ‘rasuah’. Cukup retorik dalam perjuangan,” bidasnya menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya berkaitan hal terbabit.

Terdahulu, Syed Saddiq dilapor berkata, keputusan Peguam Negara melepaskan tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi daripada 47 kes pertuduhan ketika prosiding berada di peringkat bela diri, tanpa penjelasan meyakinkan, menimbulkan banyak tanda tanya kepada rakyat secara umum.

Syed Saddiq yang juga Presiden MUDA mencapai kemenangan di Parlimen Muar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini, adalah dicapai hasil sokongan daripada pengundi Pakatan Harapan (PH). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.