RMK12: Subsidi Pukal Kepada Bersasar Perlu Dilihat Secara Menyeluruh – Shahar

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah berharap kerajaan meneliti secara menyeluruh berhubung subsidi bersasar agar pelaksanannya kelak tidak membebankan pelbagai pihak dalam usaha menstruktur ekonomi negara.

Berucap pada sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), di Parlimen semalam, beliau seterusnya menambah walaupun hasrat pelaksanaanya cukup baik, namun segala kerunsingan termasuklah kalangan T20 dan kumpulan yang lain turut diambil kira.

“Isunya adalah fundamental… isunya adalah bagaimana reformasi struktur yang ingin kita lakukan. Saya melihat apabila kita nak beralih daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar, itu cukup baik tetapi perkara yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Ayer Hitam ada relevannya.

“Ini kerana apabila kerajaan menyasarkan T20 tidak diberikan subsidi secara bersasar tetapi adakah kita lupa bahawa T20 itu merangkumi 1.58 juta isi rumah dan dalam satu 1.58 juta isi rumah itu terangkum T1, T20. Inilah perkara-perkara yang harus kita beri perhatian supaya rasa tidak puas hati, rasa bimbang dan sangsi ini dapat kita atasi melalui ekonomi madani,” katanya.

Meneruskan perbahasannya beliau turut bersetuju jika kerajaan ingin mengembalikan semula pelaksanaan ‘Goods And Sevices Tax’ (GST) selaras dengan apa yang diminta oleh Bank Dunia supaya kerajaan meneroka hasil baharu.

“Saya yakin apabila Bank Dunia mengarahkan supaya kerajaan kita meneroka hasil baharu… saya amat menyokong sekiranya kerajaan mengembalikan semula GST seandainya kita mahu mencapai defisit fisikal lebih baik daripada 3.5 peratus dihujung RMK-12.

“GST merupakan jangka masa pantas untuk kita capai… kerana apa apabila kita tidak melaksanakan GST kita kerugian lebih kurang RM13 hingga RM18 bilion dan ini dapat kita berikan kepada rakyat, dapat kita bantu ekonomi yang akhirnya ia akan memberi satu pulangan yang baik,” tambahnya.

Tambah beliau lagi, tujuh prinsip ekonomi Madani merupakan satu kerangka yang cukup baik, namun dua pertimbangan harus diambil kira samaada  mahu melihat pertumbuhan ekonomi atau pun saiz ekonomi.

“Ekonomi Madani tujuh prinsip bagi saya adalah satu kerangka yang baik bagi menggagaskan 10 tahun ke depan. Cumanya kita berada di persimpangan adakah kita mahu melihat pertumbuhan ekonomi ataupun kita mahu melihat saiz ekonomi. Dua perkara yang harus kita buat keputusan. Kerajaan menyasarkan 30 ekonomi terbaik di dunia dari segi pertumbuhan.

“Kalau kita buat perkiraan mudah dengan mengambil kira semua karateristik ekonomi kita melihat hanya mampu untuk ‘beat’ Thailand kerana apa… Thailand ketika ini berada pada tangga yang ke-30. Hanya memerlukan dua peratus pertumbuhan. Kalau kita ada pertumbuhan enam peratus kita akan pergi ke negara seperti Switzerland tetapi kalau kita melihat dari segi GDP perkapita, kita hanya mampu berada pada kadar 67 sekarang ini beralih kepada 63.

“Perkara-perkara inilah yang saya minta kerajaan buat keputusan samada kita mahu melihat secara magnitud atau pun kita mahu melihat secara kosmetik. Bagi saya paling pentingnya adalah saiz dan bukannya pertumbuhan. Pertumbuhan itu hanya nilai yang bukan hanya memberi gambaran tetapi tidak menggambarkan perkara sebenarnya,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.