Melaka Dapat Tambahan 500 Tan Metrik Beras Tempatan

MELAKA, 13 Sept – Sebanyak 500 tan metrik beras tempatan akan diedarkan di semua kedai runcit di seluruh negeri Melaka bermula Sabtu ini sehingga akhir bulan.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata keputusan itu dicapai menerusi satu mesyuarat khas bagi menangani isu kekurangan beras tempatan pagi tadi yang melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kawal Selia Padi dan Beras (KPB) dan syarikat pemborong beras negeri.

“Hasil keputusan mesyuarat itu kita memutuskan bermula Sabtu ini sehingga hujung bulan, Melaka akan mendapat penambahan 500 tan metrik beras tempatan yang akan diedarkan ke seluruh kedai dalam negeri.

“Insya-Allah, bekalan itu mencukupi untuk keperluan rakyat di negeri ini,” katanya dalam satu video yang dimuat naik menerusi Facebook rasminya selepas mesyuarat itu di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut meminta rakyat segera memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya mereka tidak mendapat bekalan beras tempatan sehingga akhir bulan ini.

“Tujuannya adalah untuk kita kesan (sebarang ketirisan) bermula di peringkat pengilang sampailah kepada pengguna supaya kita dapat kawal bekalan beras ini.

“Kita mahu pastikan isu kekurangan beras ini dapat ditentang habis-habisan sehingga selesai,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.