Rakyat Perlu Rasional Tepis Persepsi, Semak Fakta Babit Undang-undang Dan Kehakiman – Peguam

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Peguam, Mohamad Fakhzan Md Noor berpandangan rakyat pada masa kini tidak perlu terlalu terpengaruh dengan permainan persepsi yang dicipta pihak tertentu.

Katanya, rakyat perlu rasional dalam membezakan antara pandangan dan persepsi terutama membabitkan Undang-undang dan Kehakiman negara.

“Masalah besar sekarang ini adalah persepsi, di luar sana kita gagal untuk membezakan di antara fakta dan pendapat

“Maknanya ada cakap-cakap yang menyatakan seolah ada campur tangan eksekutif di dalam sistem perundangan dan Institusi Peguam Negara malah pendakwaan itu sendiri.

“… untuk memahami konsep ini kita balik kepada sejarah, dalam sejarah undang-undang kenegaraan dan pembinaan negara bangsa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Kanun – DNAA Zahid Hamidi – Mengapa Ada Pertikaian Undang-Undang? yang disiarkan NRChannel, malam tadi. Turut menjadi panel adalah peguam, Datuk Abu Bakar Isa Ramat.

Dalam pada itu Mohamad Fakhzan turut mengkritik Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang bertindak secara tidak adil dalam memberikan pandangan beliau mengenai kes mahkamah dihadapi Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Secara peribadi saya melihat isu ini sama ada kita mahu faham atau enggan faham. Perlu jujur dan telus dalam memberikan pendapat kerana ada elemen hipokrasi di situ.

“Pada 2018 hingga 2020, Syed Saddiq adalah sebahagian anggota Kabinet Kerajaan Pakatan Harapan (PH). Ketika itu banyak kes secara sewenang-wenangnya Peguam Negara mengugurkan kes tetapi dia hanya mendiamkan diri dan tidak bersuara, kenapa sekarang bersuara?

“Orang tua berkata ayam berkokok tetapi tidak sedar ekornya juga bergelumang dengan tahi, jadi tanpa niat untuk menghina prosiding ataupun memberi komen beliau juga ada terpalit dengan kes-kes tertentu. Adakah itu ikhlas menyatakan keadilan ataupun ada motif tertentu?” soal beliau.

Sementara itu, Abu Bakar turut menyentuh berkenaan keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid.

Katanya ia adalah merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan di bawah Seksyen 145 (3) yang mengatakan bahawa Peguam Negara mempunyai kuasa untuk memula, menerus, mematikan sebarang prosiding atau pendakwaan jenayah terhadap mana-mana orang di negara ini.

“Lepas itu kita rujuk Perkara 254 yang turut dinyatakan Peguam Negara, disebut Kanun Prosedur Jenayah dengan jelas memperuntukkan dalam mana-mana juga peringkat perbicaraan sebelum penghakiman diberikan, pendakwa raya jika berpendapat patut boleh memberitahu mahkamah bahawa yang dia tidak akan mendakwa tertuduh itu selanjutnya dan semua prosiding hendaklah diberhentikan dan tertuduh hendaklah dibebaskan.

“Dalam kes Ahmad Zahid telah diarahkan untuk bela diri dan hampir 15 saksi telah dipanggil dalam peringkat bela diri ini dan beliau diberikan pelepasan. Ini bukan kes pertama, Datuk Mohd Tamrin Abdul Ghafar pada 2014 selepas empat tahun beliau dilepas dan dibebas.

“Manakala Ahmad Zahid pula dilepas tanpa bebas. Jika selepas siasatan mendapati memang perlu tuduhan itu diteruskan beliau akan dibawa ke mahkamah dan dituduh semula. Manakala rafizi ramli dilepas dan dibebas pada 2019, jika kita tengok ada dua kes di mana orang yang dituduh semasa peringkat bela diri, hantar representasi, mahkamah bersetuju melepas dan membebaskan.

“Walaupun ada dakwaan mengatakan itu adalah tekanan politik kita letak ke tepi kerana di bawah proses undang-undang itu adalah hak seseorang untuk dilepas,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.