Pemuda UMNO Fokus Gerak Kerja Hadapi PRK Pelangai, Tarik Sokongan Rakyat Bersama Kerajaan Perpaduan
KUALA LUMPUR, 12 Sept – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memaklumkan sudah melaksana gerak kerja sebaiknya bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata persiapan tersebut mengambil kira pelbagai aspek bagi memastikan Barisan Nasional (BN) kekal memperoleh kemenangan di kerusi tersebut.
“Persiapan menghadapi PRK DUN Pelangai pada 7 Oktober 2023 telah diberikan perhatian rapi dari segenap aspek untuk melancarkan segala gerak kerja yang direncanakan demi memastikan sokongan rakyat terus setia sama dengan Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan Mesyuarat Exco Pemuda UMNO Malaysia yang diadakan di Menara Dato Onn, petang tadi.
Dalam pada itu Akmal turut meluahkan kesyukuran dengan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram yang berlangsung minggu lalu.
Bagaimanapun katanya, kemenangan tersebut bukan syarat untuk Kerajaan Perpaduan berasa selesa sebaliknya perlu membawa momentum tersebut pada PRK di Pelangai.
“Mengambil kira keputusan PRK Simpang Jeram dan Pulai, sepenuh rasa syukur dizahirkan kerana kerusi milik rakan kongsi dalam Kerajaan Perpaduan berjaya dipertahankan.
“Kejayaan ini tidak boleh membuatkan kita berasa selesa dan mengambil mudah. Kini adalah giliran BN mewakili Kerajaan Perpaduan bertanding di DUN Pelangai dan penambah baikan gerak kerja akan terus dilakukan.
“Insya-Allah, seluruh usaha dan tenaga jentera Pemuda UMNO Malaysia akan ditumpukan di DUN tersebut,” ujar beliau.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan melaksana Program Pemuda Sambung Belajar mensasarkan golongan muda yang keciciran pelajaran.
Jelas beliau, selain menyediakan platform tersebut pihaknya juga akan membantu mereka untuk mendapatkan pinjaman bagi membiayai pelajaran.
“Masa depan anak muda menjadi perkara yang dititik berat oleh Pemuda UMNO. Dalam usaha pembangunan belia, kerjasama dengan Universiti MAHSA dan institusi-institusi pengajian tinggi lain akan turut dijalinkan melalui Program Pemuda Sambung Belajar.
“Program ini akan melibatkan 2000 belia dan beliawanis dari seluruh negara untuk mengikut kursus microcredential seperti Pemasaran Digital dan Keusahawan Melalui Kecerdasan Buatan.
“Perlu difahami bahawa inisiatif pemerkasaan belia ini bukanlah mempolitikkan pendidikan. Bahkan, kepentingan pendidikan adalah melangkaui politik, dan menjadi tuntutan Pemuda UMNO memastikan generasi muda memiliki peluang yang terbaik untuk masa depan yang cerah,” katanya. – UMNO Online