UMNO/BN Perlukan Kesetiaan Rakan Kongsi Politik… Wujud Rasa Kebersamaan Semua Kaum

KUALA LUMPUR, 10 Sept – UMNO/Barisan Nasional (BN) memerlukan kesetiaan rakan kongsi politik iaitu MCA, MIC dan Friends of BN bagi mewujudkan rasa kebersamaan semua kaum di Malaysia.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ahli Parti Makkal Sakti Malaysia semestinya beruntung kerana telah mempunyai seorang presiden yang mesra dan setia kepada perjuangan BN.

“Tentunya yang paling penting dalam gelombang politik 15 tahun ini ketika ribut taufan politik melanda dan ombak menggulung. Tetapi hakikatnya, Presiden Makkal Sakti, R S Thanenthiran tetap setia kepada perjuangan BN.

“Malah, beliau tidak goyah. Sekali berkawan, tetap akan berkawan meskipun mantan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak berada di penjara. Setiap kali perbicaraan di mahkamah, beliau (Presiden Makkal Sakti) akan hadir.

“Apa yang ingin saya sebutkan disini, semua ahli beruntung kerana mempunyai presiden yang cekal dan mesra,” katanya yang juga Presiden UMNO ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Makkal Sakti ke-15, di sini, sebentar tadi.

Jelas Timbalan Perdana Menteri itu, landskap politik negara telah berubah selepas 66 tahun mengecapi kemerdekaan dan beliau merasa amat bertuah kerana dikurniakan rakan-rakan politik yang sentiasa berada di sisi di kala susah serta senang.

“Politik ini sangat dinamik lebih-lebih lagi selepas 66 tahun negara mencapai kemerdekaan. Apabila pendulum politik berada di atas dan kemudian menurun sedikit demi sedikit. Kemuncaknya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, 13 dan 14. Dalam putaran hayat, pendulum tidak akan berterusan berada di bawah.

“Kami memerlukan kesetiaan daripada rakan-rakan kongsi politik. Ketika kita senang, kita merayakan kegembiraan. Ketika kita susah, kita menghargai kesetiaan. Dalam situasi begini tentunya tiga parti serangkai (UMNO, MIC, MCA) dan Friends of BN adalah rakan-rakan setia yang tidak pernah meninggalkan perjuangan BN untuk wujudkan rasa kebersamaan semua kaum.

“Landskap politik berubah. Dahulu BN dominan tetapi ‘centre of gravity’ sering diserang lembing-lembing fitnah. Sebelum ini, ‘lembing’ itu ditujukan kepada ‘Bossku’ (Najib Razak). Meskipun beliau berada di sebalik tirai besi, semangat beliau tetap berada bersama dengan kita,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa UMNO/BN telah cuba diharamkan ketika menjadi pembangkang selama 22 bulan dan akhirnya para pemimpin UMNO dikenakan pendakwaan terpilih.

“Tentunya orang melihat seolah-olah riwayat politik BN telah tamat. Tetapi, apabila landskap telah berubah dan kita memainkan peranan untuk membentuk kerajaan baharu di bawah Perikatan Nasional (PN) ketika itu… kerana kita melihat bahawa UMNO/BN cuba diharamkan dalam tempoh 22 bulan menjadi pembangkang.

“Ianya telah dibatalkan dan kami di dalam UMNO telah diugut supaya bersama-sama mereka dalam PPBM. Kami tahu, walaupun diugut, ditohmah dan diheret ke mahkamah, kami tetap menghargai rakan-rakan teras BN kerana tetap bersama apatah lagi Friends of BN yang masih utuh.

“…dan kita lihat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu walaupun mereka (PN) mengatakan bahawa akan ‘sapu bersih’ 6-0, hakikatnya kita menafikan kebongkakan mereka itu. Referendum itu memihak kepada kita namun kita jangan takbur. Masih ada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai dan jangan lupa, ‘Bossku’ masih di sebalik tirai besi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata pernah dicadangkan agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk mengadili bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang sebelum ini mencoretkan mengenai pendakwaan terpilih di dalam memoirnya, ‘Justice In The Wilderness’.

“Sebab itu UMNO/BN mencadangkan agar RCI kepada Tommy Thomas mesti ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia. Di dalam bukunya, beliau menceritakan bahawa terdapat kes-kes yang sengaja direka bagi menjatuhkan kredibiliti para pemimpin UMNO/BN.

“Sebab itu ‘the fountain of justice’ mesti diterjemahkan dalam bentuk tindakan supaya keadilan dapat ditegakkan bukan berdasarkan kepada penganiayaan.

“Kita lihat bahawa di kesemua pilihan raya, kita akan terus diuji. Marilah kita bersama-sama di dalam BN dan Kerajaan Perpaduan. Kita ketepikan perbezaan di kalangan kita dan agenda politik peribadi. Mari kita mara ke hadapan dan kukuhkan kestabilan di negara ini,” katanya lagi.

Turut hadir ke majlis tersebut adalah Presiden Makkal Sakti, R S Thanenthiran, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.