Kerajaan Perpaduan Buta Warna, Tidak Pinggir Negeri Pembangkang Ketika Dilanda Bencana
JOHOR BAHRU, 8 Sept – Kerajaan Perpaduan tidak pernah meminggirkan mana-mana negeri yang ditadbir oleh pembangkang dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan ketika bencana, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara itu berkata Kerajaan Persekutuan disifatkan ‘buta warna’ kerana menyalurkan bantuan tidak mengikut parti politik sebaliknya membantu semua rakyat ketika dilanda musibah.
“Umpamanya ada kerajaan negeri yang tidak bersama dengan Putrajaya kita tetap membantu kerana kita Kerajaan Perpaduan ini buta warna, tak kira apa parti politik kita bantu.
“Atas nama tanggungjawab dan (nilai) kemanusiaan… kita tetap membantu rakyat yang ditimpa bencana,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian MADANI Siaga peringkat Negeri Johor di PPR Melana Indah, Perling hari ini.
Dalam usaha memastikan semua pihak siap siaga berdepan risiko berlaku bencana, Ahmad Zahid menyeru agar kerjasama antara rakyat dan agensi kerajaan dapat diperkukuh.
Beliau berkata kerjasama antara rakyat dan agensi keselamatan adalah jalinan terbaik yang perlu diperkukuh supaya apabila sesuatu bencana terjadi, proses pengurusan termasuk agihan bantuan dapat disalurkan dengan efektif.
Program MADANI Siaga Johor itu adalah program memperkasa komuniti dalam persediaan mengurangkan kadar risiko bencana.
Objektif program itu adalah memupuk semangat kesukarelawanan dan menjadikan sebuah komuniti yang diperkasa dalam menghadapi bencana mengambil tindakan awal untuk mengatur komuniti serta peranannya sebelum agensi keselamatan tiba.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong serta wakil agensi berkaitan.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menasihati rakyat Johor khususnya di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram yang akan mengundi pada Pilihan Raya Kecik (PRK) esok agar memilih wakil rakyat yang boleh membantu rakyat.
“Kerajaan Perpaduan meletakkan calon yang mewakili rakyat dan boleh bantu rakyat… rakyat di sini pengundi yang matang.
“Jika anda pilih orang lain untuk wakili anda, dia peduli apa kerana mereka wakil lain (bukan Kerajaan Persekutuan) … pada akhirnya, anda menjadi mangsa… orang Pulai jangan tawar diri jadi mangsa,” katanya.
PRK di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan selepas penyandang kedua-dua kerusi iaitu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia pada 23 Julai lepas.
Di Parlimen Pulai, calon Pakatan Harapan (PH) yang mewakili Kerajaan Perpaduan Suhaizan Kaiat berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Perikatan Nasional (PN) Zulkifli Jaafar dan Samsudin Mohamad Fauzi yang bertanding sebagai calon Bebas.
DUN Simpang Jeram pula menyaksikan pertembungan antara calon PH Nazri Abdul Rahman, calon PN Dr Mohd Mazri Yahya dan calon Bebas S.Jeganathan. – BERNAMA