Bantah Pelepasan Ahmad Zahid, Jangan Jadi Ahli Politik Malas Membaca – Mohd Puad

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menasihatkan musuh politik yang membantah pelepasan pertuduhan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya membaca 11 alasan pendakwaraya sebelum membuat sebarang hujahan.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya beliau berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan memberi harapan baharu untuk merungkai isu pendakwaan terpilih.

“Keputusan lepaskan Ahmad Zahid tanpa membebaskan (DNAA) beri harapan baru untuk merungkai isu ‘political prosecution’. Diharap satu persatu akan terlondeh.

“Ada yang tidak puas hati. Ini mudah difahami. Ia melibatkan pemimpin UMNO. Mereka memusuhi UMNO. Mereka tidak mahu UMNO bangkit.

“Mereka juga bias. Mereka diam jika kena batang hidung pemimpin sendiri. Majlis Peguam pun 2X5,” katanya.

Menurutnya, tidak ada seorang pun pihak yang membantah keputusan mahkamah itu membaca kesemua sebelas alasan pendakwaraya dan mengulasnya.

“Tidak seorang pun yang membantah itu mengulas sebelas alasan pendakwaraya. Mereka tidak baca termasuk Ketua Pemuda PPBM. Jawablah terutama fakta nombor 5,6, dan 8.

“Fakta ke-5 menyebut, pihak pendakwa tidak mahu dilihat cuai, terburu buru, pra matang dan membuat pendakwaan tidak lengkap. Terbukti betul. Lihat kes Tan Sri Shahrir Samad.

“Fakta ke-6 pula sebut ia menganggu reputasi Jabatan Peguam Negara seolah-olah diperalatkan oleh pihak tertentu. Apakah itu pengakuan setelah Tommy Thomas dan Idrus bersara?” soalnya.

Jelasnya, alasan ke-8 adalah yang paling signifikan kerana mahkamah mengambil kira penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) buku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

“Paling signifikan ialah alasan ke-8. Mahkamah ambil kira penubuhan RCI siasat buku Tommy Thomas. Buku itu pengakuan tidak sengaja iaitu wujud ‘konspirasi peringkat tertinggi’.

“Ketua Pemuda PPBM kata empat tahun masa terbuang. Masa orang lain terbuang kamu tidak fikir pula. Ada kalanya pertuduhan dipinda. Itu berlaku pada kes Datuk Seri Najib. Dalam kes Tan Sri Muhyiddin, Hakim kata pertuduhan tidak lengkap. Sebab itu kes gugur. Kenapa Idrus Harun tidak arah buat pindaan?

“Alasan ke-9 menyebut, oleh kerana ada dakwaan ‘selective prosecution’ oleh rejim kerajaan sebelum ini, maka penting pihak Pendakwaraya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melihat dan turut menyiasat. Nasihat saya pada Ketua Pemuda PPBM, jangan jadi ahli politik malas membaca,” katanya lagi.

Pada Isnin media melaporkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid, apabila pihak pendakwaan memutuskan untuk berhenti, kerana mereka berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.