Beri Peluang Kerajaan Perpaduan Mentadbir Demi Kemakmuran Masa Hadapan – Nur Jazlan

PULAI, 7 Sept – Kerajaan Perpaduan perlu diberikan lebih masa untuk mentadbir negara demi kemakmuran dan kesejahteraan masa hadapan, kata Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, titah Sultan Johor sebelum ini merupakan rentetan daripada kejatuhan UMNO/Barisan Nasional (BN) pada tahun 2018 sehingga menyebabkan ketidakstabilan politik berlaku.

“Saya menyokong penuh titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Inilah dia kesan daripada kejatuhan Barisan Nasional (BN) yang dibentuk hasil daripada peristiwa 13 Mei. Pada ketika itu, semua kucar-kacir. Tentera terpaksa dipanggil untuk mengawal keselamatan.

“Allahyarham Tunku Abdul Rahman berhenti, digantikan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak dan beliau menggunakan masa tersebut untuk panggil semua pemimpin politik bagi membentuk BN. Pada ketika itu yang tidak menyertai BN hanya Dap sahaja.

“Parti pembangkang seperti Pas dan Gerakan, mereka akhirnya bersama-sama dalam kerajaan BN sama ada menjadi ahli secara terus atau hanya bersama. Selepas Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), Tun Abdul Razak telah berjaya membentuk BN dan pada tahun 1974 kerajaan BN menang besar,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, mantan Perdana Menteri iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak turut diberikan masa selama empat tahun ketika terbentuknya BN selepas peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969.

“Jadi, apa yang dikatakan oleh Tuanku Sultan Johor memang tepat. Kalau keadaan tidak stabil selepas kejatuhan BN yang dibentuk daripada abu-abu pertelingkahan perkauman dan kestabilan itu dikecapi lebih 50 tahun, maka sekarang ini kita kembali ke zaman itu. Keadaan kerajaan kucar-kacir dan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk macam BN juga terpaksa diberikan masa.

“Tun Razak sendiri daripada tahun 1970 sehingga 1974, empat tahun diberikan masa pada akhirnya apabila beliau berjaya, lebih 50 tahun kita dapat keamanan, kestabilan dan kemakmuran ekonomi. Datuk Seri Anwar baru sembilan bulan. Sekurang-kurangnya kita berikanlah masa macam Allahyarham Tun Razak bererti dalam tempoh satu penggal.

“Sekiranya beliau berjaya, kita akan dapat kemakmuran berpuluh tahun ke hadapan. Pada tahun 1969 dahulu, Pas pun jauh dengan UMNO, Gerakan memang tidak bersama MCA. Tetapi kerana memikirkan kepentingan negara mereka bersama. Dap sahaja yang tidak bersama BN. Sekarang ini Dap pula dah ada dan inilah juga menjadi satu rintangan pada minda orang Melayu untuk menerima politik baharu ini. Tetapi saya yakin sekiranya diberikan masa, semuanya dapat dibuktikan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan para pengundi yang bakal melaksanakan tanggungjawab mereka pada 9 September ini agar tidak mengikut emosi dan berfikir secara rasional.

“Kepada orang UMNO saya ingin menyeru supaya keluar mengundi dan mengundi calon Kerajaan Perpaduan. Jangan rosakkan undi dan janganlah undi pihak lawan hanya untuk melepaskan kemarahan. Kita sebagai kumpulan rakyat yang terbesar patut bertanggungjawab dan memainkan peranan untuk menjadi pemimpin negara ini.

“Bangsa lain turut mengakui bahawa sekiranya orang Melayu kucar-kacir, negara pun tidak stabil. Fikirlah baik-baik kerana orang Melayu perlu pilih satu parti yang kuat dan ianya hanyalah UMNO/BN. Jadi, fikirlah secara rasional.

“Pilihlah Kerajaan Perpaduan ini maka insya-Allah UMNO akan kembali pulih semula untuk menjadi pemimpin kepada orang Melayu di negara ini,” katanya lagi.

Terdahulu media melaporkan bahawa Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah supaya lebih banyak masa diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membangunkan ekonomi negara.

Memetik laporan media The Star, Sultan Ibrahim bertitah, ia berikutan masalah krisis kewangan yang didepani oleh Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar ketika ini amat mencabar. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.