Rancang Tebuk Atap, Pas/PN Tidak Hormat Keputusan Rakyat Pada PRU Lalu – Nur Jazlan

PULAI, 6 Sept – Pas/Perikatan Nasional (PN) tidak menghormati keputusan yang telah dibuat oleh rakyat kerana masih merancang untuk membentuk kerajaan Persekutuan melalui cara lain seperti menebuk atap dengan mencuri ahli-ahli Parlimen pihak lawan.

Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, meskipun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu Pas masih menjanjikan penyokongnya untuk membentuk kerajaan di persekutuan sekiranya mereka menang besar, nyata ianya bukan sesuatu perkara yang mudah untuk dilaksanakan.

“Kerajaan pusat dengan kerajaan negeri lain. Kalau mereka (PN) menang semua kerajaan negeri namun kalah di parlimen, mereka tetap tidak akan dapat kerajaan pusat. Tetapi kalau mereka nak ‘main belakang’, itu lain cerita. Rakyat dah buat keputusan tetapi mereka nak ‘curi’ ahli parlimen dengan apa-apa ganjaran.

“Adakah ini perangai orang Islam? Saya tak faham. Tidak hormat kepada mandat yang diberikan oleh rakyat. Tetapi, selepas habis pilihan raya mereka nak ubah keputusan dengan ‘membeli’ ahli-ahli parlimen,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, disebabkan Pas menggunakan model sebagaimana pentadbiran Iran pada zaman di bawah Ayatollah Khomeini, mereka beranggapan bahawa semua keputusan termaktub boleh diubah sewenang-wenangnya menggunakan cara lain.

“Pas pun sama. Tetapi ianya diubah menjadi ‘Mursyidul Am’, fungsinya sama seperti Ayatollah. Maknanya, ada pemimpin yang teratas dan semua pengikut perlu dengar cakap dia sahaja. Jadi di mana demokrasinya?

“Saya tidak hairan kalau mereka tidak mengendahkan demokrasi di Malaysia ini. Rakyat dah pilih tetapi mereka kata tidak mengapa, kita boleh tukar keputusan itu dengan cara lain. ‘Very Islamic’,” sindirnya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berharap agar pengundi pada PRK kelak tidak emosi membuat pilihan.

“Seperti saya sebutkan sebelum ini, pada hari pengundian nanti pengundi perlu duduk dan fikirkan bahawa sebenarnya mereka tidak rugi apa-apa pun kerana kerajaan yang ada pada hari ini telah menjanjikan perubahan pun serta tidak akan menjejaskan kedudukan mereka.

“Perubahan itu memang perlu daripada masa ke masa kerana negara dan ancaman sentiasa berubah. Jadi, kita pun kena berubah cuma kadar perubahan itu, cara yang dilaksanakan itu membimbangkan mereka,” katanya.

Menurut beliau, adalah menjadi tanggungjawab UMNO/BN di Pulai dan Johor untuk memulihkan semula sokongan rakyat yang mula beralih arah kepada PN.

“Sebenarnya terjejas dengan berubah ini ada bezanya. Berubah tetapi tidak menjejaskan mereka maknanya perubahan itu dibuat dengan baik. Tetapi kalau perubahan drastik dibuat sehingga ianya menjejaskan mereka dari segi gaji, keistimewaan dan sebagainya, itu mungkin akan menimbulkan reaksi negatif kepada mereka.

“Tetapi, saya yakin mereka faham. Di Johor ini, rakyatnya lebih matang dan ‘cool’. Dari segi agama pun ada sekolah agama kerajaan yang rasmi dengan kurikulumnya yang terancang, fakulti guru-gurunya dipilih dan dipastikan tidak akan memberikan didikan songsang kepada anak murid.

“Jadi, rakyat Johor memang orang yang rasional dan boleh berfikir panjang. Kalau tidak, macam mana kita boleh menang PRN Johor lepas?” katanya lagi.

Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa kemenangan PN dalam enam negeri pada PRN lalu akan membolehkan berlaku perubahan dalam kerajaan pusat dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, dakwaan itu berdasarkan terdapat sokongan daripada Ahli Parlimen di dalam parti gabungan Kerajaan Perpaduan termasuk dari Sabah dan Sarawak yang akan menyokong PN jika gabungan memenangi PRN di enam negeri. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.