Norliza Gesa Hentikan Polemik Ketidakadilan Yang Cuba Dimainkan Demi Laba Politik Kempen PRK

KUALA LUMPUR, 6 Sept – Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim menggesa orang ramai menghentikan polemik ketidakadilan yang cuba dimainkan oleh pihak-pihak tertentu demi laba politik terutama sewaktu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram semakin memuncak.

Terdahulu, pada Isnin Mahkamah Tinggi telah memutuskan untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi. Antara alasan yang dibacakan ialah dakwaan dalam representasi Ahmad Zahid ada pendakwaan terpilih (selective prosecution) daripada rejim kerajaan sebelum ini.

Kata Norliza, perkembangan mutakhir badan kehakiman dan eksekutif perundangan amat serius untuk diteliti kerana sebahagian imej dan integriti negara terletak pada dua komponen ini.

“Sesungguhnya saya percaya bahawa reformasi undang-undang dan keadilan yang ditiupkan serta ikrar untuk tidak campur tangan dalam urusan kehakiman benar-benar sedang dipraktikkan oleh YAB Perdana Menteri demi mengembalikan kepercayaan rakyat dan mata dunia.

“Kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, lawan tetap lawan dan akhirnya kebenaran berpihak kepadanya. Untuk itu, setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal terbabit.

Jelasnya, sudah pasti adalah harapan rakyat untuk melihat keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang dapat ditegakkan untuk melindungi mereka dan lebih dari itu keadilan serta kesaksamaan dapat dilaksanakan tanpa ada perasaan takut mahupun berpihak pada individu atau kumpulan tertentu.

“Saya mengikuti dua kes berprofil tinggi melibatkan Presiden UMNO, YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid dan Presiden Bersatu, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membebaskan Tan Sri Muhyiddin pada 15 Ogos lalu manakala YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut dilepaskan tanpa dibebaskan pada 4 September lalu setelah mahkamah berpuas hati dengan hujah Timbalan Pendakwaraya, Datuk Dusuki Mokhtar yang bersetuju terhadap representasi 200 muka surat peguambela Datuk Seri Dr Ahmad Zahid.”

Menariknya, kata Norliza, ketua peguambela kedua-dua kes di atas adalah individu yang sama iaitu Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

“Apa yang lebih menarik untuk direnungkan ialah antara lain hujah yang dibentangkan, pertama – ia bersifat pra matang, tidak cukup bukti dan kedua – ia boleh menjadi suatu pendakwaan terpilih bermotifkan politik dan ini boleh mendatangkan kemudaratan seperti salah guna proses mahkamah.

“Saya fikir, Datuk Hisyam Teh Poh Teik telah memberi garis sempadan yang amat jelas diperakui oleh mahkamah seterusnya pejabat Peguam Negara dalam mencapai keputusan yang diperoleh kedua-dua pemimpin politik tanah air tersebut,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.