Hormati Sistem Kehakiman Negara, Tidak Perlu Bawa Ke Parlimen Atau Protes – Peguam

KUALA LUMPUR, 6 Sept – Peguam, Shahrul Fazli Kamarulzaman menempelak pihak yang mahu melakukan protes membabitkan keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, daripada semua 47 pertuduhan.

Menurut beliau, sedangkan Timbalan Pendakwa Raya telah mengemukakan 11 alasan kepada hakim bagi menghentikan prosiding kes berkenaan dan Hakim telah membenarkan permohonan tersebut.

“Ada pihak yang menuntut bekas Peguam Negara dan Peguam Negara baharu untuk bagi alasan dan penjelasan kepada rakyat dan Parlimen, apa keperluan? Sedangkan Pendakwa Raya sudah pun memberikan 11 alasan di hadapan hakim.

“Hakim itulah penentunya kerana sistem Kehakiman lebih tinggi dan lebih tersendiri dalam prosedur jenayah. Kenapa kena bawa ke Parlimen atau jalanan?

“Siapa yang merosak dan mencemarkan nama baik Institusi Kehakiman dan Jabatan Peguam Negara? Jadi saya harap ini dapat difahami untuk tidak syok sendiri apabila kita hendak mengatakan sesuatu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Eksklusif Bersama Pasukan Pembelaan yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online malam tadi. Selain Shahrul Fazli turut sama menjadi panel adalah peguam, Hamidi Mohd Noh dan Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang merupakan pasukan peguam Ahmad Zahid sepanjang perbicaraan berlangsung.

Dalam pada itu, Shahrul berkata rakyat perlu memahami bahawa apabila Pejabat Peguam Negara atau Peguam Negara melalui timbalan pendakwa raya membuat keputusan untuk menggugurkan pertuduhan mengikut Perkara 145, ia adalah budi bicara mutlak Peguam Negara.

Katanya, kuasa untuk memula dan menghentikan apa-apa prosiding jenayah terletak kepada punca kuasa Peguam Negara untuk menghentikan kes atau prosiding di mana-mana peringkat.

“Eksekutif adalah di bahagian lain di dalam Perlembagaan. Peguam Negara adalah di bahagian lain dalam Perlembagaan.

“Apabila dikatakan ada campur tangan eksekutif kerana Zahid ini adalah Timbalan Perdana Menteri, ataupun Perdana Menteri campur tangan itu tidak timbul dan yang dimomokkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab termasuk ahli politik yang merencana untuk dapat publisiti murahan

“Ia dibuat bertujuan bukan sahaja untuk mengelirukan rakyat tetapi keyakinan kepada institusi Peguam Negara.

“Ini yang saya rasa perlu kita titik beratkan apa yang berlaku hari ini adalah bukan perkara sesuatu yang ajaib,” ujar beliau.

Tambah beliau, permohonan daripada peguam bela untuk representasi adalah perkara biasa dan ianya turut terjadi pada perbicaraan kes mahkamah pemimpin politik lain.

“Saya ambil contoh kes Lim Guan Eng, Rafizi Ramli dan banyak lagi kes termasuk pemimpin tertinggi PPBM, Datuk Wan Saiful Wan Jan juga yang baru-baru ini dikenakan pertuduhan di mahkamah juga melalui representasi untuk pihak pendakwa raya menilai kembali pertuduhan tersebut,” katanya.

Terdahulu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu, selepas mendengar 11 alasan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, untuk menghentikan prosiding kes berkenaan.

Pasukan peguam Ahmad Zahid sebelum ini telah menghantar surat representasi setebal 200 muka surat kepada Pejabat Peguam Negara (AGC), sebagai asas pertimbangan supaya pertuduhan terhadapnya digugurkan.

Surat representasi pertama dikemukakan pada Januari lepas, manakala yang terbaru, lengkap dengan fakta dan bukti baharu, dihantar kepada AGC pada Februari. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.