Mohd Rafi Harap Rakyat Dapat Menilai, Kembalikan Institusi Perundangan Negara Tanpa Pendakwaan Terpilih

LABUAN, 5 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berharap rakyat Malaysia dapat menilai dan ‘membuka mata’ akan kezaliman serta kerakusan Tun Dr Mahathir Mahathir serta kuncu-kuncunya yang telah membaculkan sistem perundangan Negara dengan melakukan pendakwaan terpilih.

Katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan, kita tidak boleh membiarkan negara ini ditadbir oleh orang-orang seperti ini yang boleh menyebabkan lagi ramai rakyat teraniaya jika tidak sehaluan dengan mereka.

“Pertama sekali saya dan kepimpinan UMNO Labuan ingin memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana telah melepaskan YAB Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi Presiden UMNO yang teraniaya dan di zalimi sejak 2018.

“Penghinaan, cercaan, caci maki, fitnah, kezaliman itulah yang dihadapi beliau sejak beberapa tahun yang lalu. Berat mata kita memandang, berat lagi bahu beliau yang memikul malah ramai lagi pemimpin UMNO era Tun Mahathir telah merasainya.

“Demi kecintaan kepada perjuangan yang berteraskan agama, bangsa dan negara pelbagai tekanan diberikan dan desakan terakhir adalah menggunakan perundangan atas pendakwaan terpilih,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal terbabit.

Semalam, Mahkamah Tinggi telah memutuskan untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi. Antara alasan yang dibacakan ialah dakwaan dalam representasi Ahmad Zahid ada pendakwaan
terpilih (selective prosecution) daripada rejim Kerajaan sebelum ini.

“Alhamdulillah, semuanya terungkai. Penghinaan yang di hadapi oleh Datuk Seri Zahid Hamidi sejak lima tahun lalu telah diangkat darjatnya semula apabila Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan beliau atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram Dana Yayasan Akalbudi.”

Kata Mohd Rafi, era 2018 sangat jelas akan permainan yang sangat kotor lagi jijik oleh Tun Mahathir selaku perdana menteri ketika itu.

“Beliau memperkosakan sistem perundangan negara secara terus dengan pelantikan tanpa segan silu beberapa jawatan penting di agensi yang melibatkan Perundangan Negara. Pelantikan Lateefa Koya sebagai Pesuruhjaya SPRM dan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara yang memulakan kezaliman dilakukan oleh Tun M kepada pemimpin-pemimpin UMNO yang enggan menyokongnya.

“Beliau Menggunakan SPRM dan Peguam Negara mengugut pemimpin UMNO untuk melompat ke Bersatu ketika itu. Tun M mendesak YAB Datuk Seri Zahid untuk bubarkan UMNO dan masuk ke Bersatu adalah satu perkara sangat jijik dan tidak bermoral. Ahli-ahli UMNO perlu ingat akan jasa Datuk’ Seri Zahid Hamidi kepada kita semua.

“Kerakusan Tun Mahathir tidak berhenti di situ apabila beliau memaksa SPRM, AG dan Badan Kehakiman mempercepatkan kes pendakwaan terhadap Datuk Seri Najib selaku musuhnya cepat dimasukkan ke penjara walaupun perjalanan perbicaraannya sangat-sangat meragukan malah jelas Datuk Seri Najib tidak mendapat keadilan sewajarnya,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.