Kesilapan Dan Keangkuhan Latheefa Koya, Tommy Thomas… Heret SPRM, Jabatan Peguam Negara – Abdul Rahman
KUALA LUMPUR, 5 Sept – Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO Malaysia, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berpandangan keputusan mahkamah terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah cara halus kepada keangkuhan Latheefa Koya dan Tommy Thomas yang sebelum ini mengemudi SPRM dan Jabatan Peguam Negara dengan angkuh.
Katanya, ini kerana selepas lima tahun pertuduhan dikenakan kepada Ahmad Zahid, pihak pendakwaan masih gagal dalam mengemukakan bukti kukuh.
“Dilepaskan tanpa bebas (DNAA) pada saya hanyalah cara halus untuk memberi muka kepada SPRM dan Jabatan Peguam Negara yang telah diaibkan kerana kesilapan dan keangkuhan Latheefa Koya dan Tommy Thomas.
“Lima tahun telah berlalu, hakikatnya bukti masih tidak kukuh. Apakah lima tahun lagi akan ada bukti yang kukuh? Namun pihak penyiasatan SPRM (di bawah Latheefa Koya lantikan Tun Mahathir) dan pihak pendakwaan Jabatan Peguam Negara (di bawah Tommy Thomas – lantikan Tun Mahathir) teruskan untuk ‘bulldoze’ saja,” katanya.
Rentetan itu beliau juga turut meluahkan penghargaan kepada kepimpinan SPRM dan Jabatan Peguam Negara baharu yang berani memperbetulkan penganiayaan yang telah berlaku sebelum ini.
“Tak apalah apa juga definisi pembebasan ini, yang penting orang tidak berdosa tidak terus teraniaya. Saya pasti setelah setahun dua berlalu dan bila tidak ada bukti baru yang kukuh ditemui, peguam Datuk Seri Zahid boleh minta DNAA itu digugurkan. Insya-Allah Hakim akan setuju.
“Selepas ini kita doakan kes DS Najib Razak juga akan dapat perhatian pihak mahkamah dan Jabatan Peguam Negara untuk memberikan proses penghakiman yang lebih adil dan saksama,” ujar beliau.
Abdul Rahman juga berkata segala kesabaran dan penderitaan yang dihadapi Presiden selama ini ternyata berbayar apabila mahkamah melepaskan tanpa bebas beliau daripada kesemua 47 pertuduhan.
“Syukur alhamdullilah. Dari awal lagi asas-asas pertuduhan ini amat lemah. Lima tahun derita ditanggung oleh Presiden dan keluarganya.
“Apa yang tidak mereka lalui? Penghinaan, cerca, maki, fitnah dan pembohongan. UMNO juga terkesan akibat pertuduhan politik ini. Berat mata memandang lebih berat bahu yang memikulnya,” ujar beliau. – UMNO Online