Kepentingan Agama Islam, Hak Istimewa Orang Melayu Tidak Boleh Diubah Sewenang-wenangnya – Asyraf Wajdi

PULAI, 5 Sept – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa apa jua perkara yang melibatkan kepentingan agama Islam dan hak istimewa Melayu, Bumiputera tidak boleh diubah sewenang-wenangnya oleh ahli politik.

Ini kerana katanya, wujud dakwaan daripada pihak lawan yang mengatakan bahawa Kerajaan Perpaduan akan melaksanakan pindaan perlembagaan sekiranya kerusi parlimen yang mereka perolehi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai ini mencukupkan jumlah dua pertiga.

“Pertama sekali saya kena respons perkara yang menjadi igauan banyak pihak khususnya kempen-kempen kotor dibuat oleh Perikatan Nasional (PN) kononnya sekiranya diberikan undi kepada Pakatan Harapan (PH) dan parti dalam komponen Kerajaan Perpaduan ini maka akan dibuat pindaan kepada perlembagaan… akan diwujudkan undang-undang yang akan menghalalkan LGBT, menghakis kedudukan Islam dan juga kedudukan orang Melayu.

“Saya nak terangkan di sini. Apa jua yang melibatkan kepentingan Islam bukan sewenang-wenangnya boleh diubah oleh orang-orang politik. Pertama, Islam ini berada di bawah tanggungjawab dan amanah sepenuhnya Majlis Raja-Raja. Ini termaktub dalam perlembagaan. Islam ini dijaga dan dipelihara oleh sultan-sultan.

“Kuasa mutlak untuk agama Islam adalah kuasa sultan. Sehinggakan kalau cukup dua pertiga pun yang membolehkan satu-satu pindaan perlembagaan itu dilakukan dalam hal yang melibatkan Islam dan kedudukan orang Melayu, ia tidak boleh dipinda sewenang-wenangnya,” katanya kepada UMNO Online, semalam.

Jelasnya, beliau yakin bahawa segala perkara yang boleh mencetuskan keresahan mengenai agama Islam bakal disanggah oleh Majlis Raja-Raja Melayu.

“Kerana syarat pertama, betul kena ada 148 iaitu dua pertiga majoriti. Namun syarat kedua apa juga pindaan melibatkan dua perkara ini ia mesti mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu.

“Sudah tentu, saya yakin dan percaya apa juga perkara yang boleh mencetuskan keresahan ataupun bertentangan dengan syiar Islam, Ke Bawah Duli Tuanku serta Majlis Raja-Raja akan bertindak untuk menghalang sebarang ugutan ataupun usaha untuk meremehkan atau melakukan pencabulan kepada kesucian agama Islam di negara ini.

“Jadi tidak perlu bermain sentimen murahan hanya kerana nak membeli undi yang murah daripada rakyat, kita sanggup menipu, memfitnah dan mentohmah dengan membawa isu-isu picisan seperti ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Asyraf Wajdi turut beranggapan bahawa pemikiran pihak lawan mengenai pensepadanan semua adalah dangkal.

“Pensepadanan semula memerlukan dua pertiga. Tetapi ianya sudah tentu akan melibatkan kepentingan-kepentingan parti-parti politik termasuk kepentingan politik Melayu seperti UMNO.

“Takkanlah kita akan menggadaikan prinsip perjuangan UMNO itu sendiri. Kalau nak diikutkan naratif pihak PN, kalau ada dua pertiga akan berlakunya pensepadanan semula yang akan memberikan kelebihan kepada bukan Islam.

“Adalah amat dangkal sekali kefahaman sedemikian kerana daripada awal lagi UMNO sebagai parti yang agendanya termaktub di dalam perlembagaan UMNO tidak lain dan tidak bukan matlamat serta tujuan kita adalah untuk memelihara kesucian agama Islam, kepentingan Melayu dan bumiputera, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi serta kedaulatan Raja-Raja Melayu,” katanya lagi.

Mengulas lanjut beliau berkata, UMNO/Barisan Nasional (BN) sentiasa komited untuk memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan tanpa menggadaikan prinsip asas yang termaktub di dalam perlembagaan.

“Itu juga menjadi syarat utama apabila kita bersetuju untuk menurut titah Tuanku membentuk Kerajaan Perpaduan, kita mengadakan dua perjanjian. Pertama, perjanjian untuk memulakan perundingan. Itu pun kita masukkan dalam syarat pertama kita, jangan sesekali meremehkan dan menyentuh sensitiviti berkaitan agama Islam, kedudukan Melayu, Raja-Raja Melayu dan juga bahasa Melayu.

“Apabila semua sudah setuju kita membentuk Kerajaan Perpaduan satu lagi perjanjian dinamakan perjanjian Kerjasama Menubuhkan Kerajaan Perpaduan Malaysia. Syarat-syarat yang kita letakkan termasuk empat perkara utama yang saya sebut tadi dan dipersetujui oleh bukan sahaja PH bahkan Dap serta parti-parti lain yang membentuk kerjasama.

“Ini menunjukkan bahawa komitmen untuk kita mewujudkan Kerajaan Perpaduan ini dengan matlamat untuk memastikan kestabilan negara dapat kita capai. Kesejahteraan rakyat dapat kita utamakan tanpa sesekali menggadai prinsip perjuangan dalam konteks Islam, Raja-Raja Melayu dan bahasa Melayu,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.