Keadilan Untuk Presiden UMNO, Institusi Penguatkuasaan, Perundangan Dan Kehakiman Wajar Diperkasa – Imran Tamrin
KUALA LUMPUR, 5 Sept – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata segala kebejatan dalam pentadbiran yang lepas telah membuka lembaran baharu dengan usaha-usaha reformasi institusi, tatakelola yang baik, adil dan saksama.
Jelasnya, institusi penguatkuasaan, perundangan dan kehakiman wajar diperkasakan serta tidak diperalatkan seperti apa yang berlaku dalam pentadbiran yang lepas.
“Siasatan lanjut melalui Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap pendedahan dalam buku tulisan Tan Sri Tommy Thomas termasuk kandungan ‘Memo Dalaman Jabatan Peguam Negara’ yang telah tular juga perlu segera diteruskan.
“Hal ini diperkukuhkan lagi dengan pendedahan terbuka dan berani bekas Peguam Negara ketika pentadbiran Tun Mahathir dalam buku ‘My Story: Justice in the Wilderness’ oleh Tan Sri Tommy Thomas yang jelas menerangkan gambaran keterlibatan langsung dan campur tangan pentadbiran dalam beberapa pendakwaan terpilih terhadap pemimpin-pemimpin dan ahli politik pada waktu itu.
“Ini bertambah parah dan jelas pada ketika itu ada peranan pesaing politik dalam pentadbiran negara apabila bekas pemimpin politik Latheefa Koya dilantik ke jawatan tertinggi agensi siasatan dan penguatkuasaan iaitu sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang terlibat secara langsung dalam mengendalikan kes-kes berkepentingan politik,” katanya menerusi satu kenyataan.
Mengulas lanjut, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Sungai Besar, baru-baru ini juga telah tular memo dalaman Jabatan Peguam Negara yang membincangkan tentang penjelasan, pandangan dan cadangan berkenaan kes-kes yang dipertuduhkan terhadap Ahmad Zahid dan Najib Razak.
“Kandungan memo tersebut jelas membuktikan bahawa hasil siasatan dan bukti-bukti yang ada tidak cukup untuk membuktikan kesalahan yang dipertuduhkan terhadap mereka. Namun pemimpin-pemimpin UMNO/BN terus menjadi sasaran sehinggakan persepsi negatif termasuk dihukum oleh awam melalui media massa dan juga media sosial.
“Kita melihat semakin jelas ada campur tangan dan agenda politik kotor kepimpinan Tun Mahathir yang kemudiannya diteruskan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Parti Bersatu untuk menganiayai pemimpin-pemimpin UMNO/BN termasuklah Presiden UMNO dengan menggunakan institusi penguatkuasaan dan perundangan di negara ini demi cengkaman, cita-cita serta dendam politik mereka untuk menghancurkan UMNO,” jelas beliau.
Dalam masa yang sama, Imran yang juga seorang Peguam bersyukur dengan keputusan semalam serta antara alasan pendakwaraya untuk memberhentikan pertuduhan.
“Bahawa pertuduhan selama ini yang dibuat adalah bersifat tergesa-gesa sebelum siasatan lengkap dibuat yang boleh menjejaskan kredibiliti Jabatan Peguam Negara dan SPRM yang dilihat menjadi alat pembunuhan musuh politik oleh pentadbiran dan pihak berkuasa.
“Ianya satu keputusan tuntas yang telah diambil oleh Peguam Negara dan pasukan pendakwaan setelah meneliti termasuk mengkaji semula kes secara menyeluruh seterusnya memberhentikan kesemua 47 pertuduhan kes berkaitan Yayasan Akalbudi terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Sebelum ini, Mahkamah Tinggi di Shah Alam juga telah membebaskan dan melepaskan Datuk Seri Ahmad Zahid terhadap 40 kes pertuduhan yang terbukti tidak berasas, tidak bermerit dan diputuskan tiada kes prima facie untuk sebarang kesalahan jenayah pada 23 September 2022 yang lalu.”
Ujarnya, keputusan terhadap kedua-dua set pertuduhan ini sekaligus membersihkan nama baik Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO dan Anggota Pentadbiran Kerajaan.
Secara konsisten beliau juga yakin dan percaya sejak dari awal lagi ketika Tun Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-7 pasca Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 terdapat usaha mengheret pemimpin-pemimpin UMNO/BN dengan pendakwaan terpilih.
“Terdapat usaha mengheret pemimpin-pemimpin UMNO/BN dengan pendakwaan terpilih dan pertuduhan politik terutamanya kepada Datuk Seri Ahmad Zahid sejurus beliau dipilih sebagai Presiden UMNO pada Pemilihan 2018.
“Kita juga percaya bahawa mantan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak juga menghadapi tekanan dengan pertuduhan serta motif yang sama pada ketika itu,” katanya.
Dalam masa yang sama, Imran juga menzahirkan penghargaan kepada semua peguam Presiden UMNO yang telah bertungkus lumus dan berkerja keras membela serta mendapatkan keadilan seadil-adilnya.
“Tahniah kepada semua pasukan Peguam yang telah bekerja keras membela dan mendapatkan keadilan terhadap Presiden UMNO.
“Ayuh kita sama-sama perkukuhkan kesatuan dalam UMNO dan membawa parti ini terus menjadi pejuang dan pembela kepada agama, bangsa dan negara,” ujarnya lagi. – UMNO Online