Bukti Hasil Kestabilan Politik, Johor Peroleh Pelaburan Tertinggi – Anuar Manap
BAKRI, 5 Sept – Faktor kestabilan politik membolehkan negeri Johor merekod kemasukan pelaburan asing tertinggi di negara tahun lalu, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis, Anuar Abd Manap.
Katanya, ia bersandarkan kepada kepimpinan negeri Johor pada masa kini yang mendapat kepercayaan daripada pelabur asing untuk terus datang melabur ke negeri itu.
“Johor ini dilihat antara kawasan yang cukup berpotensi bagi pelabur-pelabur luar datang ke sini. Kebanyakan pelaburan yang datang mahu melihat kestabilan negeri.
“Sekiranya pelabur luar melihat negeri ini keadaannya tidak stabil maka pelabur tidak akan datang dan harap perkara sebegini ini tidak akan berlaku lagi.
“Atas dasar itu pengundi-pengundi di (Dewan Undangan Negeri-DUN) Simpang Jeram harus melihat konteks yang lebih jauh dan bukannya melihat pada satu keadaan parti… tidak, tapi melihat undi yang diberikan kepada calon yang mesra Johor ini akan membantu iklim ekonomi berada di tahap paling baik dapat diteruskan,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.
Mengulas lanjut, Anuar yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sekijang mengharapkan pengundi-pengundi mampu mengekalkan kemenangan di kerusi DUN Simpang Jeram.
“Kita harapkan pengundi dapat mengekalkan DUN Simpang Jeram di bawah PH (Pakatan Harapan) kerana kerajaan negeri ingin membawa konteks yang lebih besar serta luas serta mahukan pembangunan berterusan. Ianya menjadi penanda aras bahawa sokongan terhadap kerajaan negeri terus kekal di kawasan ini.
“Terima kasih pada rakan-rakan dari parti dalam Kerajaan Perpaduan yang turut memberikan kerjasama yang baik membantu pada PRK (Pilihan Raya Kecil) ini,” jelas beliau. – UMNO Online