Institusi Keadilan Negara Perlu Kembali Ke Landasan Agar Pendakwaan Terpilih Tidak Berulang – Musa

BUTTERWORTH, 5 Sept – Semua institusi keadilan negara perlu diletakkan kembali diatas landasan yang sebenar tanpa campur tangan politik pihak tertentu agak pendakwaan terpilih tidak berulang ke mana-mana pihak lain.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Musa Sheikh Fadzir berkata, tindakan pihak pendakwaan memohon untuk prosiding dihentikan adalah selaras dengan peruntukan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah.

“Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang menzahirkan rasa syukur dengan laporan berita berkaitan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilepaskan tanpa dibebaskan daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

“Bagi kami, tindakan pihak pendakwaan memohon untuk prosiding dihentikan adalah selaras dengan peruntukan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah.

“Berdasarkan sebelas alasan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan terhadap Ahmad Zahid, seharusnya memberi pengajaran kepada semua,” katanya menerusi satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang akan terus memberi sokongan kepada Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN).

“Pada saat ini, betapa perlunya semua institusi keadilan negara diletakkan kembali atas landasan sebenar tanpa campur tangan politik pihak tertentu supaya pendakwaan terpilih sebagaimana dikenakan terhadap Ahmad Zahid tidak berulang kepada mana-mana pihak lain.

“Melihat ke hadapan, Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang akan terus memberi sokongan kepada Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO Malaysia dan Pengerusi BN Pusat.

“Ini demi kelangsungan Kerajaan Madani Malaysia dalam usaha mereformasikan institusi agar perlembagaan dan semangat keadilan dalam institusi-institusi berwajib di negara ini terus ditegakkan,” katanya lagi.

Pada Isnin media melaporkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid, apabila pihak pendakwaan memutuskan untuk berhenti, kerana mereka berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.