Keputusan Mahkamah Tinggi Tepat, Pertuduhan Bermotif Politik Perlu Dihentikan Segera – Mahdzir

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah percaya keputusan Mahkamah Tinggi yang melepaskan kesemua 47 kes pertuduhan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini adalah merupakan tindakan yang tepat.

Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, UMNO Kedah yakin bahawa sistem penghakiman bukanlah hanya tentang siapa yang betul mahupun siapa yang salah, malah proses tersebut perlulah dilihat adil kepada semua pihak, termasuk memelihara kreadibiliti AGC.

“Kontroversi kebocoran memo dalaman Jabatan Peguam Negara (AGC) yang menjelaskan pertuduhan terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak wajar diteruskan ekoran kekurangan bukti kukuh adalah cukup menjelaskan pertuduhan bermotif politik ini perlu dihentikan segera.

“Oleh itu, keputusan pihak pendakwaraya untuk melepaskan tanpa membebaskan kesemua 47 pertuduhan kes terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah tepat bagi mengelakkan kegusaran berlakunya ‘miscarriage of justice’ dalam khalayak umum di negara ini.

“Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah menzahirkan kesyukuran kehadrat Allah SWT di atas keputusan Mahkamah Tinggi tersebut, sekali gus membuktikan kebenaran akhirnya tertegak memihak kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sesungguhnya kata beliau, keputusan hari ini adalah merupakan berita yang baik buat parti.

“UMNO Negeri Kedah percaya kemenangan ini sangat membantu ahli parti untuk membina semula semangat dalam menghadapi pilihan raya yang akan datang,” ujarnya lagi.

Terdahulu dilaporkan, Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid, apabila pihak pendakwaan memutuskan untuk berhenti, kerana mereka berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.