Alhamdulillah Presiden Parti Dilepas 47 Pertuduhan… Marilah Berganding Bahu Teruskan Perjuangan – Sharkar

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin hari ini melahirkan rasa syukur berhubung perkembangan terkini perbicaraan yang membabitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur.

Bagi beliau dengan keputusan Mahkamah Tinggi jelas menunjukan Ahmad Zahid telah menggunakan sepenuhnya proses perundangan dan berharap keputusan tersebut tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak kerana telah menggunakan segala saluran yang ada di negara ini.

“Alhamdulillah… Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.

“Kita penuh yakin dengan sistem yang ada dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak dan berharap seluruh ahli parti teguh di belakang presiden dalam usaha memperkasakan lagi parti menempuh segala cabaran yang ada di depan,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid, apabila pihak pendakwaan memutuskan untuk berhenti, kerana mereka berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam.

Sharkar seterusnya menambah dengan keputusan itu juga menjelaskan kepada masyarakat umum bagaimana presiden parti berdepan dengan segala pendakwaan sejurus selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 yang lalu.

Akhirnya tambah beliau lagi hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan dan begitu juga dengan keputusan di Mahkamah Tinggi Shah Alam beberapa bulan lalu yang telah membuat keputusan memihak kepada Ahmad Zahid.

“Mahkamah yang sama sebelum ini turut membuat keputusan membebaskan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pendakwaan yang dihadapi berkaitan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.

“Apa pun Alhamdulillah… inilah masanya untuk kita seluruh ahli parti pelbagai peringkat berganding bahu melangkah ke depan. Presiden hari ini telah melalui satu proses yang cukup panjang dalam usaha mempertahankan diri dan juga maruah beliau.

“Sebagai ahli dan pimpinan parti kita perlu bersama-sama bersolidariti bersama presiden… saya percaya ranjau dan onak sentiasa menanti kita di depan apatah lagi beberapa hari sahaja lagi kita akan menempuh hari pengundian Pilihan Raya kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dan pada bulan depan pula PRK DUN Pelangai. Insya-Allah kita mampu menempuhnya,” tambah beliau.

Untuk rekod, sebelum ini Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam atas 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Memetik laporan, Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kesemua pertuduhan di akhir kes pendakwaan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.