Ahmad Zahid Ajak Rakyat Parlimen Pulai Perkukuh Kedudukan Kerajaan Perpaduan Di Persekutuan

PULAI, 4 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak rakyat untuk memperkukuhkan kedudukan Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan dengan memberikan peluang kepada calon Pakatan Harapan (PH) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai.

Jelasnya, Suhaizan Kayat akan sedaya upaya memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di Pulai tanpa mengira bangsa.

“Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub cukup besar dan kuat. Saya mahu kali ini saudara Suhaizan juga dapat sokongan daripada pengundi-pengundi Cina di Pulai ini.

“Saudara Suhaizan adalah seorang calon yang baik. Beliau dahulu adalah setiausaha politik kepada Allahyarham. Beliau mengenali Pulai dan akan memberikan perkhidmatan terbaik di kawasan ini tanpa mengira bangsa.

“Saya beritahu dia agar tolong semua bangsa kerana kita ‘colour blind’. Kalau tidak cukup peruntukan, minta dengan saya. Saya akan tolong. Tapi saya tahu Liew Chin Tong adalah ADUN dan Timbalan Menteri yang baik… beliau minta supaya pengundi-pengundi Cina di Pulai ini mesti turun sekurang-kurangnya 70 peratus pada 9 September ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Makan Malam bersama Penganut Kuan Ying di Taman Perling, semalam.

Beliau turut berharap agar para penyokong Barisan Nasional (BN) dan PH akan memberikan sokongan yang jitu kepada Suhaizan pada 9 September ini.

“Dulu saya alergik dengan lambang ini (Pakatan Harapan) tetapi apabila setelah berkawan, kita mahu Kerajaan Perpaduan di Johor dan Putrajaya adalah kerajaan yang kuat di Malaysia.

“Saya tahu Suhaizan boleh buat perkhidmatan yang terbaik. Beliau akan turun ke setiap pelusuk kawasan tanpa mengira kaum. Beritahu saya kalau Suhaizan tidak buat kerja, saya akan maklumkan kepada bos dia.

“Kita harap pada 9 September ini kita bersama-sama dengan PH. BN akan terus menyokong PH kerana mereka adalah partner yang baik supaya kerajaan kita stabil dan kuat. Kita boleh berniaga, dapat pendidikan dan pekerjaan baik,” katanya lagi.

Parlimen Pulai mempunyai sejumlah 166,653 pemilih berdaftar dan 40.46 peratus atau 67,434 orang adalah pengundi Cina.

Pilihan Raya Kecil bagi Parlimen Pulai bakal menyaksikan saingan tiga penjuru antara Suhaizan, calon Perikatan Nasional Zulkifli Jaafar dan calon Bebas Samsudin Mohamad Fauzi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.